“Zairul, tolong. Aku dah buntu tak tahu nak buat macam mana” – Anak usia 3 bulan hidapi komplikasi jantung, bapa rayu bantuan orang ramai

"Zairul, tolong. Aku dah buntu tak tahu nak buat macam mana" – Anak usia 3 bulan hidapi komplikasi jantung, bapa rayu bantuan orang ramai

Ahad lalu, ada seorang sahabat baik hubungi saya waktu sedang mesyuarat. Nama Qawiem Hamizan tertera di skrin telefon. Lantas saya minta izin Pengerusi Mesyuarat untuk beredar sebentar.

Di suatu sudut, saya angkat panggilan tersebut. Saya dengar suara Qawiem sebak, saya terus jadi tak sedap hati. Dah kenapa pula kawan yang seorang ni. Tak pernah dia buat macam ni. Ini mesti pasal anaknya, Qaid Hadid.

“Zairul, tolong. Aku dah buntu tak tahu nak buat macam mana. Qaid, esok ada minor operation, pastu esok jugak aku dah balik Kuching”.

Telahan saya betul, pasal anaknya yang sekarang berusia 3 bulan, sejak lahir tak pernah keluar PICU, Hospital Kuala Lumpur. – Qawiem menyambung.

“Aku dah tak sampai hati nak jauh dengan anak dan isteri aku. Aku nak kerja kat KL. Tolong aku, tolong.”

Desahan makin serius. Saya terus bertanya di mana beliau sekarang. Jawabnya di ada hospital.

“Kalau macam tu, lepas maghrib aku datang”.

Di hujung talian, suara Qawiem makin lemah. Saya tak tahu apa yang sedang difikirkannya. Lepas maghrib, saya terus bergegas ke Institut Pediatrik di Hospital Kuala Lumpur. Ini kali kedua saya ziarah anaknya. Setibanya di pintu masuk PICU, Qawiem bersama anak sulungnya yang berusia 5 tahun sudah menunggu di koridor.

“Pergilah masuk, wife aku tunggu kat dalam. Aku kena duduk luar dulu”.

Betapa luluhnya hati lihat anak kecil berusia 3 bulan masih dalam kondisi yang sama sebelum ini. Wayar dan tiub jadi teman si anak. Dengan hemah, saya menyapa Ibunya Qaid. Malah saya disambut dengan senyuman yang tenang.

“Qaid ituhari ada bukak mata. Kesian dia. Boring agaknya. Itu yang bawakan dia mainan”. – Jawab Ibu Qaid.

Saya nampak ada beberapa buah mainan disisi Qaid. Allahu, naluri lembut seorang lelaki terdetik, cuba saya tahan air mata dari jatuh. Saya bertanyakan tentang minor operation keesokan harinya. Si ibu yang budiman ini cuba menjawab dengan tenang.

“Qaid-kan kecik lagi, jadi doktor nak tengok progress dalam badan dia. Nak masukkan kamera. Tapi tulah, Ayahnya pulak esok pukul 8 pagi dah kena naik flight.”

Berat dugaan Qawiem dan Isteri kena tanggung. Qaid Hadid sebenarnya sejak lahir dikesan komplikasi jantung berlubang dan lebih kritikal mempunyai dua lubang pada jantung. Peluang untuk lubang tu tutup sendiri, adalah sangat mustahil. Kalau dengan cara pembedahan pun, Qaid masih kecil, dan berat badan belum menepati syarat. Disebabkan masalah jantung berlubang, paru paru Qaid beberapa kali tidak berfungsi dengan baik dan pernah collapse kerana darah membanjiri paru paru.

Belum reda dengan itu, dikesan pula masalah “Esophageal Fistula” (boleh google) di mana saluran pemakanannya tidak bersambung menjadikan Qaid tidak boleh makan kerana tiada salur ke perut.

Malah bukan itu sahaja, anak bertuah ini juga tidak mempunyai lubang anus menyebabkan Qaid tidak boleh buang air besar.

Selesai ziarah, saya teman Qawiem, Isteri dan anak sulungnya ke tempat letak kereta. Di luar kereta, suara Qawiem sekali lagi sebak.

“Cuti Rehat aku dah habis, Cuti Tanpa Gaji pulak dah sebulan habis. Sekarang ni aku tak tahu macam mana aku balik selalu. Harapkan cuti hujung minggu je lah. Zairul, tolong aku, macam mana aku nak kerja kat KL”.

Saya dengar rintihan beliau serta respons apa strategi yang beliau dah fikir. Lama beliau menyusun ayat.

“Ibarat semut mintak dengan gajah. Aku dah minta dengan banyak tempat. Tapi sapa je aku dorang nak balas dengan cepat. Zairul, anak aku perlukan aku. Nak tak nak aku kena kerja kerajaan jugak. Kalau tak sape nak tanggung 170 ribu ni”.

Makin mendesah, tapi saya cuba tenangkan.

“Kos flight pergi balik lagi. Bukan murah kalau dah beli on the spot. Kos supplement susu anak aku lagi. Semua tu duit”.

Saya tahu beliau nak luahkan semuanya, tapi cuba ditahan-tahan. Sambil bersalaman untuk mohon undur diri, beliau sempat bisik sesuatu.

“Aku nak minta tolong YB-YB Parlimen untuk mudahkan aku transfer ke KL dengan cepat.”

Kawan-kawan,

Saya fikir ada baiknya kalau saya menulis sesuatu bagi pihak beliau. Di sini saya boleh nyatakan apa yang boleh saya bantu.

1. Saya tulis post ini. Mudah-mudahan, bila kalian bantu viralkan, mungkin urusan seterusnya jadi mudah dari segi nak bagi YB-YB nampak post ni.

2. Saya tulis surat rasmi dan minta rakan-rakan yang berpengaruh untuk sampaikan ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia tentang permohonan pertukaran ke IPTA sekitar Lembah Klang.

3. Saya mohon kawan-kawan yang prihatin dan bermurah hati untuk bantu Qawiem dan keluarga, saya tinggalkan nombor akaun untuk kalian beri derma. Saya seru ambil peluang ini sempena bulan Ramadhan yang mulia untuk gandakan amal kebaikan.

Ini akaunnya:

Bank Islam (Qawiem Hamizan) – 12113025108936

Facebook: Qawiem Hmzn

Atau kalian yang tak berkesempatan untuk derma, sudah cukup memadai jika kalian dapat share sebanyak mungkin supaya YB-YB Parlimen Malaysia Baru dapat membantu.

Zairul Eizam
Sebaik-baik manusia, adalah manusia yang beri manfaat pada orang lain.

 

Sumber :OhMyMedia

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password