Yapeim dan 7 lagi berjaya batalkan saman Pemangkin

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan enam lagi berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) berhubung dakwaan salah laku dan usaha menutup Pemangkin.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Faizah Jamaludin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan tujuh defendan tersebut atas alasan isu berkenaan tidak boleh dibahaskan, remeh dan menyusahkan.

Oleh itu mahkamah membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan Pemangkin terhadap tujuh defendan terbabit selaku defendan kedua hingga kelapan tanpa sebarang kos.

Bagaimanapun saman terhadap seorang lagi defendan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku defendan pertama masih kekal kerana beliau tidak membuat permohonan untuk membatalkan saman.
Mahkamah menetapkan 6 Dis untuk pengurusan lanjut kes saman terhadap Jamil Khir.

Dua pengasas Pemangkin Datuk Mohd Yusoff A.Bakar, 65 dan Ahmad Fazil Hashim, 61, serta Pemangkin selaku plaintif pertama hingga ketiga telah memfailkan saman itu pada 1 Mac 2017 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Azlina Darus & Co.

Mereka menamakan Jamil Khir, 56; Datuk Shahlan Ismail, 59; Mohd Yusof Abd Rahman, 62; Mokhtar Abdul Razak, 59; Datuk Abibullah Samsudin, 58; Sharina Ramli, Normala Embi, 54; dan Yapeim selaku defendan pertama hingga kelapan dan mereka diwakili peguam Megat Abdul Munir Megar Abdullah Rafaie dan Shahir Tahir.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif memohon satu perintah deklarasi bahawa Pemangkin adalah sebuah entiti yang berdiri sendiri dan bukan anak syarikat kepada mana-mana syarikat atau yayasan atau pertubuhan lain termasuk Yapeim.

Mereka juga menuntut satu perintah deklarasi bahawa arahan dan tindakan Jamil Khir dan tujuh defendan lain untuk mendomankan Pemangkin adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang, serta perintah deklarasi bahawa pelantikan defendan kelima selaku ketua pegawai eksekutif kepada plaintif ketiga sebagai tidak sah dan terbatal.

– Bernama
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password