Wanita dituduh salah guna wang isteri Aziz M Osman

 

Seorang wanita hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu sebagai ejen pelancongan.

Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 36, dihadapkan atas dua pertuduhan membabitkan wang bernilai hampir RM27,000 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Mengikut pertuduhan pertama wanita tidak bekerja itu didakwa menyalahgunakan wang milik isteri pengarah Aziz M Osman, Puteri Salbainun Lokman, bernilai RM11,680 untuk satu pakej melancong ke Korea Selatan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 dan 14 Disember 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, Nor Farah didakwa menyalahgunakan wang tunai RM15,000 milik Sarifa Shaari, 56, untuk pembayaran percutian ke Maghribi dan Sepanyol antara 10 Oktober dan 21 Oktober 2017.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kelana Jaya pada 19 Disember 2017.

Nor Farah mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Malaysiakini pada 3 Jan lalu melaporkan sekumpulan 10 orang membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara kerana berasa ditipu seorang wanita yang mengaku ejen pelancongan.

Menurut pelakon, Den Wahab, wanita terbabit menggunakan helah dengan bercerita kisah hidupnya yang menyedihkan untuk mendapat kepercayaan mangsa.

Ekoran aduan itu polis menahan seorang wanita dan mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menahan reman suspek pada 5 Jan,

Mahkamah Majistret Petaling Jaya kemudian membenarkan wanita terbabit direman selama dua hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika disabit kesalahan, suspek yang hanya dinamakan sebagai pesalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda.

Utusan Online melaporkan Nor Farah didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password