(VIDEO) Dua Pengkaji Sweden Temui Bahasa Yang Selama Ini Digunakan Di Kelantan Tetapi Tidak Didokumen Oleh Pakar Antropologi..

(VIDEO) Dua Pengkaji Sweden Temui Bahasa Yang Selama Ini Digunakan Di Kelantan Tetapi Tidak Didokumen Oleh Pakar Antropologi..

 

Bahasa merupakan salah satu budaya dalam sesebuah masyarakat. Bahasa amat penting kerana ia berfungsi sebagai pengantara dalam proses komunikasi. Tanpa kewujudan bahasa, makan tiada siapa yang akan memahami apa yang dituturkan oleh seseorang manusia.

Kita sangkakan bahasa masyarakat di seluruh dunia sudah diketahui dan direkodkan secara rasmi termasuklah bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Asli. Namun baru-baru ini, dua pengkaji dari Sweden berjaya membongkar satu penemuan mengejutkan mengenai sejenis bahasa yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Bahasa yang dikenali sebagai bahasa Jedek itu dituturkan oleh penduduk Orang Asli yang menetap di Sungal Rual berhampiran Jeli, Kelantan.

Penemuan ini berjaya dirungkaikan oleh Profesor Linguistik Umum Universiti Lund di Sweden iaitu Prof. Madya Niclas Burenhult bersama dengan seorang pelajar ijazah kedoktoran (PhD.), Joanne Yager.

Penemuan bahasa Jedek ini telah direkodkan di dalam satu projek dokumentasi bahasa yang berjudul, Tongues of the Semang (2005-2011).

Di dalam dokumentasi tersebut, para pengkaji yang terlibat dikatakan telah menjalankan temubual bersama beberapa penduduk kampung dan menemui bahasa berkenaan ketika proses pengumpulan data dilakukan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak universiti pada 6 Februari lalu, Burenhult menjelaskan bahawa mereka telah menggunakan set soalan yang berbeza berbanding set soalan yang digunakan oleh para pengkaji lain. Pada ketika itulah, mereka telah menemui apa yang pakar antropologi terlepas pandang selama ini.

Jelas Joanne mengenai penemuan berkenaan, “Kami menyedari sebahagian kampung tersebut menggunakan bahasa yang lain,” jelas Burenhult kepada Degruyter.com.

“Mereka menggunakan perkataan, fonem dan struktur bahasa yang tidak terdapat dalam bahasa Jahai. Sesetengah perkataan ini mempunyai perkaitan dengan bahasa Asli lain yang dituturkan di kawasan lain”.

Burenhulf turut menjelaskan bahawa tiada penggunaan kata kerja yang menunjukkan konsep pemilikan seperti pinjam, beli atau jual di dalam bahasa masyarakat yang tidak berkomunikasi dalam bahasa Jedek.

Tambahnya lagi, bahasa Jedek mempunyai banyak frasa bagi menerangkan konsep pertukaran dan perkongsian sekali gus melambangkan cara hidup komuniti berkenaan.

Penemuan terbaru mengenai bahasa Jedek ini turut mencatatkan seramai 280 orang yang menuturkannya di sekitar kawasan Sungai Rual.

Komuniti ini berasal daripada beberapa puak Orang Asli yang menjalankan kegiatan memburu dan memungut hasil hutan sepanjang Sungai Pergau.

Masyarakat ini juga mempunyai jalinan perhubungan yang erat antara satu sama lain dan tidak mengalami sebarang masalah pergaduhan dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh galakan oleh para ibu bapa supaya anak-anak tidak bertanding dalam sebarang aspek.

Malah, mereka juga tidak mempunyai undang-undang atau mahkamah kecil.

“Terdapat banyak cara untuk menjadi seorang manusia, tetapi masyarakat moden seringkali dijadikan sebagai kayu ukur untuk menentukan manusia secara universal”.

“Banyak perkara yang boleh kita pelajari sama ada tentang diri sendiri daripada kekayaan budaya dan bahasa yang terancam di luar sana,” kata Niclas Burenhult.

Penyelidikan oleh Burenhult dan Joanne ini telah diterbitkan di dalam Linguistic Typology. Anda juga boleh menonton video pendek mengenai bahasa Jedek dalam video di bawah.

Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password