Usir pekerja asing terlibat serang polis

Persatuan Patriot Kebangsaan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja asing disyaki warga China yang terlibat dalam serangan terhadap polis 11 November lalu, termasuk mengusir mereka daripada Malaysia.

Presidennya Mohd Arshad Raji berkata, serangan terhadap penguatkuasa undang-undang ternyata melampau batas dan memberi kesan negatif kepada mertabat negara.

“Kami mendesak pihak bertanggungjawab bertindak sekeras-kerasnya terhadap semua pesalah dengan mengusir mereka keluar daripada negara ini.

“Ini harus dilakukan serta-merta. Kami tidak nampak sebarang kenyataan tegas dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab berkaitan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada insiden yang berlaku pada pukul 10.30 malam itu, sejumlah warga China menyerang tujuh anggota polis berpakaian preman yang membuat pemeriksaan di tempat tinggal mereka kerana dijadikan tempat bermain judi.

Sejumlah 68 yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Setakat pagi semalam, lapan individu masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Mohd Arshad berkata, tindakan tegas juga perlu bagi memberi pengajaran kepada pekerja asing lain agar sentiasa mematuhi undang-undang ketika berada din negara ini.

“Jika kerajaan tidak menunjukkan ketegasan dalam menangani rusuhan itu, kemungkinan kejadian sama boleh dilakukan pekerja negara lain yang berada di sini,” katanya lagi.
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password