UPSR 2017: Murid Botakkan Kepala Guru Besar

 

Demi menunaikan janji, seorang guru besar terpaksa membotakkan kepala selepas sekolahnya berjaya mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Menurut Harris Irman Sharipudiin, 46, beliau bernazar untuk membotakkan kepala bagi memberi semangat kepada 134 calon UPSR yang menduduki peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Sri Melor, di sini.

Jelasnya, beliau sangat gembira apabila sekolahnya berjaya mencapai sasaran meskipun terpaksa kehilangan rambutnya.

“Saya akui tidak dapat tidur malam tadi kerana rasa berdebar-debar namun gembira kerana akhirnya sekolah ini berjaya mencipta kejayaan dalam UPSR tahun ini,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Untuk melaksanakan janjinya itu, 11 murid sekolah berkenaan memotong rambut Harris dengan disaksikan lebih 250 murid dan ibu bapa.

Beliau yang telah menjadi pendidik sejak 1992 berkata, tindakan itu dibuat bagi mencipta kelainan dalam sambutan keputusan UPSR selain mahu SK Sri Melor menjadi antara sekolah luar bandar terbaik di Kelantan.


“Ini simbolik bahawa jika ada sasaran, kita akan berjaya capai selain saya mahu jadi contoh di mana kejayaan akan dapat dicapai hasil kesepakatan dan semangat kekeluargaan antara guru, pentadbir dan murid,” katanya yang juga anak jati Kampung Kukang, Perol, Peringat.




Sumber – Berita Harian

Sumber : SiakapKeli

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password