Umno P Pinang akan bawa usul henti pembangunan lereng bukit

Anggota dewan undangan negeri (ADUN) Umno Pulau Pinang pada sidang DUN akan datang akan mencadangkan usul menghentikan pembangunan lereng bukit sehingga laporan penuh tanah runtuh semalam siap, kata ketua pembangkang negeri itu Datuk Jahara Hamid.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak insiden itu di Tanjung Bungah, George Town, beliau berkata soalan bertulis berhubung kejadian itu juga telah dihantar kepada DUN.

“Kami berharap sidang DUN tidak akan menghalang usul itu,” katanya.

Sesi terakhir sidang DUN Pulau Pinang untuk tahun ini akan bermula 2 November ini.

ADUN Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad yang turut menyertai lawatan berkata, Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak seharusnya mengalihkan kesalahan kepada pihak lain.

Beliau menggesa Lim untuk menilai semula semua garis panduan berkaitan pembangunan lereng bukit negeri itu.

“Jangan ada lagi kompromi, sudah banyak nyawa terkorban. Cukuplah,” katanya.

Beliau menyuarakan simpatinya terhadap ADUN Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu yang memohon maaf kepada rakyat negeri ekoran insiden itu.

Farid berkata, kerajaan negeri sudah banyak kali mengabaikan rungutan Teh berhubung pembangunan bangunan bertingkat tinggi dan di lereng bukit.

“Kami juga bersimpati terhadap penduduk yang sudah banyak kali membantah, tetapi kerajaan negeri hanya menutup telinga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Pulau Pinang H’ng Chee Wey menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan projek pembangunan yang seumpamanya.

Lim menyifatkan insiden itu sebagai “kemalangan tempat kerja” dan berkata kerajaan negeri akan melakukan siasatan penuh bagi mengenalpasti puncanya.

Semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Maimunah Sharif mengeluarkan arahan menghentikan pembinaan, dan berjanji tindakan sepatutnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Taman Bunga Sdn Bhd menjalankan projek pembangunan 980 unit rumah mampu milik di sana. Syarikat itu juga telah melancarkan siasatan di pihaknya selepas tanah runtuh berlaku.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password