Umno ajak artis isi sudut tak tersentuh lidah orang politik

Walaupun pemimpin Umno sentiasa menjelaskan pelbagai maklumat kepada masyarakat, masih ada banyak “ruang kosong” dalam jiwa mereka belum dapat disentuh, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menurut ketua penerangan Umno itu gerak kerja ahli Umno tetap mempunyai batasan dan di sana sini ada ruang yang tidak terjangkau oleh orang politik.

Justeru semua pihak termasuk golongan artis perlu bersama-sama UMNO bagi memberi kefahaman tentang perjuangan UMNO untuk semua.

“Banyak kelompok dan sudut dalam hati manusia tidak tersentuh oleh lidah-lidah orang politik, dan mungkin sudut-sudut itu boleh disentuh dengan cara lain. Bukan daripada pidato, (tapi) mungkin dendangan muzik,” katanya semasa mengajak golongan artis bersama-sama partinya membina negara bangsa.

Annuar dipetik MediaUmno sebagai berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Kelab Umno Artis Tanahair dan Seniman di PWTC malam tadi.

Beliau menjelaskan perjuangan membina negara bangsa bukan hak milik eksklusif ahli politik semata-mata.

Artis jadi pemerhati PAU

Katanya ahli politik mungkin orang yang berada di barisan hadapan, namun untuk berjaya gerakan itu perlu mempunyai saf lan yang tersusun serta bergerak bersama-sama.

“Malah boleh dikatakan dalam sejarah kebangkitan sebagai suatu bangsa, kita tidak didukung orang politik sahaja,” katanya.

Menurut anggota parlimen Ketereh itu pada awal penubuhan Umno ada pelbagai pertubuhan di dalamnya yang menggerakkan kesedaran untuk membawa anak bangsa keluar daripada penjajahan.

“Ada yang ditanam melalui batang-batang pena dan penulisan, ada yang datang melalui lirik-lirik lagu, sajak dan syair… dari dendangan irama yang berbagai-bagai.

“Ia akhirnya terjelma sebagai satu keinginan dan kesedaran di kalangan anak bangsa bahawa kita ingin menjadi satu bangsa yang merdeka dalam sebuah negara yang bebas dan berdaulat,” katanya.

Beliau juga menambah Umno lahir atas paksi agama dan konsep alif, ba dan ta – merujuk kepada tiga aksara pertama tulisan jawi.

Katanya, alif bermaksud “agama” manakala ba menjadi “bangsa” dan ta, tanah air.

Sementara itu Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusuf mempelawa golongan artis menjadi pemerhati apabila parti itu mengadakan perhimpunan agung 5 Disember ini.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password