TOLAK BERLAKON FILEM MARVEL

MYARTIS.COM | MYARTIS | MY | ARTIS: TOLAK BERLAKON FILEM MARVEL

“Saya terima dengan hati terbuka biarpun terpaksa melepaskan perkara besar. Ini kerana saya fikir tidak sesuai dengan kita. Saya tidak boleh ulas panjang tapi saya percaya semua pihak faham.

“Orang boleh buat apa juga andaian tapi keputusan ini diambil demi kebaikan saya dan masa depan kerjaya,” tutur pelakon Raja Ilya, 32, yang mengakui dirinya akhirnya terpaksa menolak tawaran membintangi filem francais Marvel.

Selepas membuat persiapan selengkapnya selama tiga bulan dan berada di Amerika Syarikat selama dua minggu, Raja Ilya sudah membuat keputusan untuk tidak meneruskan sesi pemilihan pelakon demi prinsip diri.

Raja Ilya memberitahu, dia membuat keputusan selepas menimbang beberapa perkara dan syarat ditetapkan studio terbabit yang dianggap tidak sesuai dengan dirinya.

Sebelum ini, Raja Ilya tenang berhadapan dengan dakwaan warga laman sosial bahawa dia menipu yang kononnya dia layak untuk berlakon bersama bintang filem terkenal lain di Hollywood.

Terdahulu, Raja Ilya memberitahu beliau sanggup untuk melakukan perubahan pada dirinya dengan menjalani pembedahan untuk setanding dengan pelakon antarabangsa lain dalam filem Marvel.

Ramai yang mendakwa beliau menipu untuk meraih publisiti kerana pihak Marvel tidak pernah menghebahkan perkara itu, malah Ilya juga tidak pernah memberikan butiran lanjut mengenai watak beliau dalam filem terbitan Hollywood itu.

Dalam pada itu, setelah menolak tawaran tersebut, pelakon yang mula dikenali menerusi filem ‘Appalam’ itu teruja memberitahu, dia menerima tawaran lain daripada sebuah syarikat produksi negara Uncle Sam itu.

Tambah Raja Ilya, buat masa sekarang dia sudah menandatangani perjanjian dan tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi… Tetapi saya sudah tandatangan perjanjian rahsia dan diminta ‘mengunci’ mulut.

“Saya minta semua peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji apabila sampai masanya, saya akan beritahu dengan lebih lanjut,” kata pemilik nama sebenar, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Raja Ilya berkata, ketika ini dia berada di Malaysia bagi menyelesaikan penggambaran membabitkan beberapa drama seperti ‘Syurgaku Tak Sempurna 2’ serta dua filem.

“Sebaik semua kerja selesai, saya akan ‘terbang’ semula ke AS bagi memulakan projek yang dipersetujui. Syarikat produksi terbabit bersetuju menunggu saya,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman berada di AS, Raja Ilya memberitahu, banyak pengalaman diperoleh hingga membuka matanya terutama ketika menjalani beberapa sesi pemilihan.

“Saya bertuah dipertemukan dengan ramai pengarah, pelakon dan penerbit filem yang sangat komited dengan kerjaya dan mereka tidak lokek berkongsi pengalaman.

“Tidak ketinggalan, saya berpeluang pergi ke acara parti selepas Anugerah Akademi dianjurkan,” katanya yang teruja mengembangkan karier lakonan hingga ke Hollywood.

.

Sumber : MyArtis

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password