TIMANG ANAK JULAI INI

MYARTIS.COM | MYARTIS | MY | ARTIS: TIMANG ANAK JULAI INI
Tinggal sekitar dua bulan sahaja lagi, pelakon Adam Corrie Lee dan isterinya, Fazima Fuad berpeluang menikmati fasa teruja untuk bergelar ibu bapa buat kali pertama selepas 10 tahun berkahwin.

Fazima yang kini hamil tujuh bulan itu dijangka bersalin pada Julai depan dan mereka kini sibuk membuat persediaan untuk melalui gerbang baharu dalam kehidupan berkeluarga.

Adam ketika ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Akademi Fantasia baru-baru ini telah berkongsi sedikit mengenai perasaannya ketika ini.

“Sudah tentu saya teruja dan berdebar kerana ini merupakan kali pertama bakal bergelar bapa. Tinggal dua bulan sahaja lagi dan saya sudah bersedia untuk itu. Malah, saya juga sudah bersedia untuk berjaga malam.

“Saya selalu mendengar rakan-rakan terdekat memberitahu tentang karenah bayi yang akan kerap bangun pada waktu malam. Untuk itu, saya melatih diri dengan bangun mengerjakan solat sunat tahajud pada pukul 4 pagi,” katanya.

Dalam masa sama ketika ditanya mengenai jantina bayinya, Adam lebih memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu.

“Jika diikutkan, isteri saya bakal bersalin pada awal atau pertengahan Julai depan di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri (Kuala Lumpur). Bagi jantina dan nama yang menjadi pilihan pula, saya memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu,” jelasnya.

Sepanjang tempoh kehamilan, Adam memberitahu yang isterinya tidak mengidam sangat tetapi dirinya mengidam mahu merasai makanan dari Utara tanah air.

“Sejujurnya isteri tidak mengidam sangat tetapi ia lebih kepada saya. Saya mengidam mahu merasai makanan dari Utara tanah air dan tidak tahu mengapa saya teringin sangat. Saya mengalami fasa ini sejak dua bulan lalu tetapi kini sudah beransur normal,” tuturnya.

Mengenai persediaan menyambut orang baharu dalam keluarga, Adam sudah membeli kelengkapan bayi sedikit demi sedikit.

Bukan itu sahaja, Adam turut menasihatkan isterinya untuk banyak berdoa supaya proses kelahiran nanti dipermudahkan.

“Setakat ini, kami beli barangan kelengkapan bayi sedikit demi sedikit dahulu. Saya cuma nasihatkan isteri untuk banyak berdoa supaya proses kelahiran nanti dipermudahkan.

Selepas kelahiran, Adam memaklumkan yang dia akan berkongsi wajah bila bayi sulungnya selesa dalam dua atau tiga bulan.

“Sejujurnya saya tidak akan berkongsi wajah anak terlebih dahulu. Biarlah bayi itu selesa dalam dua hingga tiga bulan dan selepas itu, barulah saya akan berkongsi wajahnya.

“Selain itu, guru saya juga berpesan supaya menyegerakan akikah seawal kelahiran bagi melepaskan beban anak supaya dia tidak meragam nanti,” jelasnya.

Mengenai cara didikan anak, Adam tidak meminta pendapat daripada rakan terdekat tetapi berpandukan hadis.

“Setakat ini, saya tidak meminta pendapat daripada rakan. Cuma saya hanya berpandukan hadis dalam cara mendidik keluarga. Seboleh-bolehnya saya akan cuba mengelak daripada memberi gajet kepada anak saya nanti.

“Gajet bukan tidak bagus. Saya cuba elakkan untuk memberi gajet sekiranya dia meragam. Jika saya beri, saya akan pastikan mempunyai had masa tertentu.

.

Sumber : MyArtis

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password