Tiada masalah bukan Islam guna masjid untuk penempatan banjir

 

Tiada masalah bagi mangsa banjir bukan Islam menggunakan masjid, surau dan sekolah agama sebagai pusat penempatan sementara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata bukan Islam boleh menggunakan rumah ibadat Islam itu dengan mengikuti kaedah-kaedah fiqh yang telah ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya sedang membangunkan ‘Fiqh Banjir’ yang menerangkan adab dan peraturan di dalam surau dan masjid kepada orang bukan Islam yang menggunakan rumah ibadat itu.

“Silakanlah (guna masjid dan surau sebagai penempatan sementara). Alhamdulillah jawatankuasa (masjid dan surau) tak ada halangan. Begitu juga yang berlaku di Kelantan sekarang. Pusat pemindahan mungkin jauh satu atau dua kilometer tapi yang terdekat dan selamat adalah masjid, surau atau sekolah agama.

“Jadi, sekarang ini kita dah guna pakai untuk yang terdekat. Senang, bila air surut mereka senang balik nak tengok rumah. Kadang-kadang dia nak keluar rumah tu susah. Jadi, apabila macam tu kita gunakan yang terdekat…tak ada masalah,” katanya kepada pemberita, di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Musibah Banjir Kepada Masjid dan Surau negeri Kedah dan Pulau Pinang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Sebanyak 10 masjid dan tiga surau di Kedah dan Pulau Pinang yang terjejas banjir pada 4 November lepas masing-masing menerima wang tunai RM10,000 (masjid) dan RM5,000 (surau) serta 4,000 naskah al-Quran.

Zainal Abidin berkata ‘Fiqh Banjir’ itu mula diperkenalkan pada kejadian banjir di Pulau Pinang 4 November lepas dan ia turut diguna pakai di Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata Jakim turut menubuhkan pasukan kaunseling kerohanian untuk membantu menenangkan mangsa-mangsa yang kehilangan harta benda dalam kejadian banjir.

-Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password