Tiada dana Boy Iman untuk teater Kontena 404

Kepada orang ramai yang meragui, syarikat DBI Entertainment hari ini menegaskan pementasan teater komedi seram Kontena 404 yang bakal berlangsung di Istana Budaya dua minggu lagi bukan dibiayai Datuk Boy Iman.

Pengurus Besar DBI Entertainment Lyana Zulkepli berkata pelakon yang kini ditahan reman oleh polis itu hanya memainkan peranan kecil dalam syarikat berkenaan.

Katanya DBI Entertainment juga tidak ada kaitan dengan syarikat DBI Properties yang kini sedang menjadi sasaran perhatian umum ekoran penahanan Boy Iman.

“Memang kami tahu DBI Entertainment antara nama yang menjadi tular sekarang.

“Walaupun Boy Iman antara pemegang saham dalam DBI Entertainment, namun bukan dia yang menanggung semua perbelanjaan.

“Kami mempunyai penaja dan penyumbang kewangan yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk menjayakan persembahan ini,” katanya yang ditemui di Istana Budaya Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, identiti penyumbang untuk menjayakan teater itu yang dikatakan mencecah hingga RM100,000 itu masih dirahsiakan sehingga suatu masa yang ditentukan.

“Atas permintaan individu terbabit, kami belum boleh mendedahkan identitinya buat masa sekarang.

“Maklumat berkenaan hanya akan dikongsikan saat akhir pementasan dijalankan,” katanya.

Naskhah arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzzaman itu akan dipersembahkan selama tiga hari berturut-turut mulai 20 Oktober ini.

Ia dibarisi pelakon seperti Tauke Jambu, Miera Liyana, Adam AF, Izreen Azminda Adam Shahz dan Abdul Rani Kulup.

Semalam Malaysiakini menyiarkan kenyataan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani bahawa Kontena 404 tidak akan dibatalkan kerana Boy Iman belum didapati bersalah.

Sementara itu, menurut Raja Azrey hatinya agak terganggu juga apabila mengenangkan apa bakal berlaku terhadap naskhahnya itu.

Kebimbangan Raja Azrey berpunca daripada pelbagai sebab.

“Saya berdebar-debar, tak boleh tidur setiap malam takut pelakon tidak boleh memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Bagaimanapun pada masa sama Raja Azrey menegaskan dia hanya menjalankan tanggungjawab mengikut apa yang dipersetujui dan melakukannya sebaik mungkin.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password