‘Tiada campur tangan’, Bellew jawab sebab tinggalkan MAS

Peter Bellew, yang tidak lama lagi akan melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines, berkata kerajaan langsung tidak campur tangan dalam kerjanya.

“Orang selalu bertanya bagaimana saya berhadapan dengan campur tangan kerajaan, (tetapi) tiada campur tangan,” katanya dalam kenyataan, seperti dipetik Star Online.

Beliau menyatakan penghargaan kepada Khazanah Nasional Bhd dan berkata pemegang saham tunggal Malaysia Airlines itu sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Ada laporan berita tentang Khazanah. Biar saya jelaskan, Khazanah adalah syarikat pelaburan yang berkaitan dengan kerajaan. Mereka memberi sokongan padu kepada saya, dalam aspek peribadi dan juga korporat.

“Saya cuba menjadi telus setiap hari, melibatkan mereka dalam kebanyakan mesyuarat penting dan menarik kakitangan mereka untuk bekerja dengan kami! Ia berjalan dengan baik. Tiada campur tangan.

“Barangkali saya yang membuatkan Khazanah pening kepala, dengan sentiasa bertanya soalan dan mahukan persetujuan bersama. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang telah mempercepat transformasi kami. (Pengarah urusan) Tan Sri Azman (Mokhtar) sangat kuat menyokong. Terima kasih Khazanah,” katanya.

Laporan oleh Pengarah Urusan Kumpulan NSTP, yang diketahui rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang disiarkan New Straits Times semalam mendakwa, perletakan jawatan Bellew berkait dengan kaedah “pengurusan mikro” Khazanah terhadap Malaysia Airlines.

Khazanah hari ini menyangkal laporan itu dan menyifatkannya sebagai “spekulasi”.

Sebab letak jawatan

Bellew berkata, sebab utama mengapa beliau memutuskan untuk meninggalkan Malaysia Airlines dan menyertai syarikat penerbangan Ireland, Ryanair, sebagai ketua pegawai operasi (COO) bermula 1 Disember ini adalah kerana beliau cintakan negara kelahirannya itu.

“Jadi mengapa saya pergi? Negaraku. Semangat cintakan negara menarik saya kembali ke Ireland. Saya mendapat panggilan daripada Ryanair dua minggu lalu.

“Ia adalah syarikat terhebat Ireland. Mereka perlukan bantuan saya dan wujudnya cabaran besar. Ia adalah khidmat kepada negara.

“Ketika saya ditanya pada 27 September lalu yang adakah saya akan ke Ryanair, saya menjawab ‘Tidak’. Tetapi seminggu kemudian, saya menerima panggilan. Dalam hidup ini, kita tidak boleh kata ‘tidak mungkin’.

Bellew juga berkata, Malaysia Airlines perlu terus meningkatkan hasilnya pada kadar empat hingga lima peratus setiap bulan untuk kembali membuat keuntungan secepat mungkin.

“Kejayaan sudah hampir dalam genggaman…Pada kebanyakan masa ia sukar diperoleh, tetapi hasil pada suku kedua meningkat tujuh peratus,” katanya.
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password