Tempoh dua bulan daftar kelahiran anak dilihat mencukupi

Tempoh dua bulan yang diberi untuk mendaftarkan kelahiran anak dilihat lebih dari mencukupi terutama di Semenanjung memandangkan terdapat banyak platform dan cara disediakan bagi tujuan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pendaftaran kini semakin dipermudahkan dengan kehadiran perkhidmatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Unit Mobile Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Cawangan JPN di seluruh negara.

Dalam satu kenyataan di Johor Bahru, beliau menjelaskan bahawa jumlah denda RM1,000 itu adalah sebahagian dari cadangan peraturan yang sedang diteliti dan jumlah itu diambil berdasarkan jumlah denda yang sama dikenakan kepada mereka yang kehilangan MyKad lebih dari tiga kali.

“Denda ini adalah berdasarkan pindaan 2016 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299). Dalam pindaan yang sama juga terdapat penambahan pada Seksyen 12 Subseksyen 1A yang mengatakan denda ini boleh dikurangkan atau diberi pelepasan oleh pendaftar berdasarkan kepada panduan yang ditetapkan.

“Ini bermakna ada ruang budi bicara bagi kes-kes tertentu,” kata beliau.

Sementara itu, menjawab kepada isu denda itu membebankan mereka di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, beliau berkata isu itu tidak timbul sama sekali.

” Akta 299 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak tertakluk atau dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak.

“Untuk kedua-dua negeri berkenaan, peraturan pendaftaran kelahiran tertakluk pada Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (CAP 123) Sabah dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (CAP 10) Sarawak,” kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut, pendaftaran kelahiran dalam tempoh yang ditetapkan adalah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan pelbagai hal lain, contohnya sukar hendak mendapatkan suntikan imunisasi dan vaksin untuk bayi pada enam bulan pertama selepas kelahiran, sekiranya kelahiran mereka lewat didaftarkan.

“Ibu bapa tidak boleh memandang ringan akan perkara ini dan kementerian juga mesti menetapkan dasar dan peraturan yang selari dengan pendirian kerajaan iaitu untuk menggalakkan ibu-bapa untuk tidak lewat mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka,” tambah Nur Jazlan.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password