Tarik balik penalti, notis kosongkan kuarters k’jaan

 

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menarik balik penalti dan notis pengosongan kuarters kepada kira-kira 500 penjawat awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri itu susulan arahan pertukaran tempat kerja dari Putrajaya ke Kuala Lumpur atau sebaliknya, selain persaraan.

Beliau berkata lebih mendukacitakan perkara itu tidak dimaklum lebih awal sehingga ada yang menanggung penalti mencecah ratusan ribu ringgit.

Bercakap dalam sidang media di ibunegara hari ini, Azih berkata: “Mereka (penjawat awam) ini tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan dan notis ini cukup membuatkan mereka dalam keadaan sukar, kemurungan, stres dan pelbagai lagi masalah.”

Cuepacs, katanya, mahu tindakan diambil supaya penarikan balik Itu dilakukan sebelum 1 Jan 2018.

Penjawat awam Mohd Fadhlin Arshad, 38, berkata beliau menerima arahan pertukaran tempat kerja di Kuala Lumpur dari Putrajaya pada Januari 2016 namun pada Ogos lalu dimaklumkan tentang ​​​​ penalti berjumlah RM58,000 serta diminta mengosongkan kuarters kerajaan yang diduduki di Putrajaya.

“Notis yang dikeluarkan ini atas alasan pejabat kerja di luar stesen sedangkan saya bekerja dalam wilayah sama (Wilayah Persekutuan).

“Buat sementara waktu, saya telah memohon dilanjutkan tempoh mendiami kuarters kerajaan kerana isteri baru bersalin dan kami masih menunggu Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dibina di Putrajaya, siap,” katanya.

Bernama

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password