‘Tak tunggu pembangkang pun dah gelap…’

Rakyat terutamanya penjawat awam tidak perlu menunggu pembangkang mengambil alih kerajaan untuk melalui masa depan yang gelap, kata bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

“Sekarang pun rakyat (penjawat awam) dah merasa kegelapan, jadi tak payah tunggu pembangkanglah.

“Rakyat berasa kegelapan dan tidak hanya pegawai kerajaan tetapi juga peneroka Felda. Rakyat di kampung, penjaja kecil dan peniaga ada yang menutup kedai kerana tidak dapat menjalankan perniagaan,” kata Zainuddin kepada Malaysiakini.

Zainuddin mengulas amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada penjawat awam bahawa masa depan mereka mungkin buruk jika pembangkang mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Bercakap di hadapan di Putrajaya baru-baru ini, Najib berkata pembangkang sekiranya berkuasa akan mengurangkan separuh daripada jumlah kakitangan awam.

Mengulas lanjut, Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu berkata rakyat kini bimbang dengan keadaan akonomi dan masa hadapan mereka, termasuk kakitangan kerajaan sendiri.

Kebimbangan itu bertambah lagi dengan berita pengangguran lebih 5,000 graduan dan kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan, katanya.

“Jadi bagaimana kita nak mengatakan, nak yakinkan masa depan penjawat awam cerah sedangkan yang ada sekarang pun dah gelap,” kata Zainuddin.

‘Tak ada masalah pun’

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata masa depan penjawat awam ditentukan oleh mana-mana kerajaan yang dipilih rakyat.

“Kita berkhidmat dengan kerajaan sepenuhnya, siapa (parti mana) yang memerintah dialah kerajaan hari ini.

“Macam di Selangor kerajaan lain, di Kelantan kerajaan lain, di Pulau Pinang kerajaan lain manakala di Persekutuan kerajaan lain pula.

“Setakat ini baik sahaja perkhidmatan hari ini. Tidak ada masalah pun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menyifatkan pendapat itu merupakan pandangan peribadi perdana menteri, Azih turut berharap kerajaan akan membela nasib pekerja termasuk penjawat awam yang disifatkannya kini dalam “keadaan tersepit”.

Katanya, dengan gaji yang rendah, kira-kira 90 peratus kakitangan awam terpaksa membuat pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi daripada bank.

“Jadi, bila mana-mana kerajaan yang dapat membantu nasib penjawat awam, kita sangat berbangga dengan kerajaan itulah,” tegas Azih.

‘Bonus tak macam dulu’

Sementara itu, seorang kakitangan awam yang dihubungi Malaysiakini mengakui masa depannya “sudah lama gelap”.

“Sekarang pun dah gelap, bonus pun tak macam dulu. Dulu dapat bonus sebulan gaji sekarang ini harap bantuan RM500 sahaja, masa raya dan awal persekolahan.

“Kalau dulu bonus sebulan gaji pun dah seronok,” kata pegawai kerajaan berusia 32 tahun itu yang enggan dikenali..

Namun, berbeza pula dengan seorang lagi pegawai kerajaan apabila beliau mengambil sikap berlapang dada dengan apa yang berlaku hari ini.

“Saya terima saja apa adanya,” katanya yang berusia lewat 40-an dan berkhidmat di Kuala Lumpur.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password