‘Tak pernah berniat namun terpaksa berundur’

Penyanyi Lan mengaku tidak pernah berniat meninggalkan kumpulan Kristal sejak menjadi sebahagian daripada peserta program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Namun krisis dalaman yang tercetus menimbulkan situasi tegang dengan anggota lain menyebabkan Lan mengambil keputusan untuk berundur dari kumpulan yang dianggotainya hampir dua dekad itu.

Lan berkata, keputusan itu diambil disebabkan dia berasa kecewa selain tawar hati dengan kenyataan dibuat oleh seorang daripada anggota kumpulan berkenaan Rody (gitaris).

“Saya tidak pernah cakap ingin meninggalkan band pun, (cuma kata) mungkin kalau keluar GV4 nanti akan beri fokus pada kerjaya solo untuk dapatkan sedikit kejayaan.

“Selepas itu akan menumpukan perhatian semula kepada Kristal dan saya rasakan perkara seperti itu adalah lumrah kerana pada era sekarang kita tidak boleh bertumpu pada satu perkara saja.

“Selain menyanyi saya pun berniaga, kena faham keluarga makin besar,” katanya selepas selesai pertandingan GV4 malam tadi.

Kemelut kumpulan itu mula mengundang perhatian umum selepas Rody memuat naik sebuah kenyataan menyatakan akan merehatkan Lan daripada menjadi vokalis Kristal.

Kenyataan itu dibuat Rody selepas Lan meluahkan hasrat untuk mengembangkan karier solo selain tidak mahu terikat dengan genre rock semata-mata.

Lan turut didakwa membelakangkan ahli kumpulan Kristal kerana tidak pernah memaklumkan mengenai penyertaannya dalam GV4.

“Sejujurnya saya akui tiada perbincangan langsung dengan Kristal. Ini kerana perbincangan dengan Kristal tak pernah wujud,” jelas Lan.

Menurutnya, pada kebiasaannya dia sering diketepikan dan dilayan seperti orang asing sejak dia mula menganggotai Kristal.

Kata Lan, biasanya apabila Kristal mahu melakukan sesuatu biasanya tiada perbincangan atau persetujuan secara rasmi.

“Saya juga selalu jadi orang terakhir untuk tahu semua perkara seperti kemasukan ahli baru atau sesuatu perbincangan. Saya hanya akan dimaklumkan mengenai keputusan dan perkara perlu dilakukan selepas itu.

“Kalau saya baru sertai GV4 sebulan tetapi mereka anggap dilayan seperti tunggul, mereka tak tahu saya sebenarnya yang tunggul selama 18 tahun dalam band ini.

“Jadi kenapa pula saya masuk GV4 kena berbincang dengan mereka. Minta maaf saya tidak pernah merungut tetapi apabila ditembak macam ini rasa macam…,” katanya kesal.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password