Sweet Charity, Blues Gang dan Kembara


Sekitar akhir 1970-an, saya sudah di sekolah menengah. Dari sekolah rendah campuran kepada sekolah menengah all-boys. Ramai yang minat bersukan, menyertai pancaragam sekolah, dan pelbagai persatuan.

Sebagai pelajar yang agak mandom, saya tidak begitu berminat dengan apa-apa pertubuhan atau aktiviti riadah. Sekadar suka lepak dengan dua tiga kawan yang sekaki bangku; walaupun sesekali bermain bola sepak wajib sewaktu mata pelajaran pendidikan jasmani.

Namun, menyertai sukan atau persatuan menjadi ko-kurikulum wajib. Saya memaksa diri menyertai pengakap tetapi merasa bosan. Keluar dari situ, saya memilih yang lebih mudah, dan tidak ramai pula menyertainya – Persatuan Bulan Sabit Merah.

Memang saya tidak minat sangat tentang teori perubatan, pertolongan cemas atau tugasan di tepi padang tetapi apabila ia menjadi wajib, tiada pilihan lain.

Tiada asas muzik

Apa yang saya mahu kongsikan adalah sama ada ko-kurikulum atau kelas seharian, saya tidak mempunyai ramai kawan rapat. Memang banyak rakan sekelas, setingkatan dan satu sekolah tetapi yang berkongsi minat dan sejiwa sekepala tidak ramai.

Biasanya seorang diri dalam melayan muzik, siri TV, filem mahu pun genre bacaan.

Dalam meminati muzik, semua orang menyukainya sebagai pendengar. Saya juga begitu. Walaupun di sekolah ada pancaragam, malah ada kelas muzik, entah kenapa saya tidak tertarik menyertainya – atau pun, dalam ingat-ingat lupa, mungkin kerana ia memerlukan kelayakan asas untuk masuk kelas tersebut, dan saya tiada sebarang asas muzik.

Jadilah sekadar peminat setia pendengar muzik yang kawan-kawan sekelas tidak begitu peduli.

Seperti dalam tulisan saya sebelum ini, era sekolah menengah membolehkan saya menyimpan sedikit duit poket untuk membeli pita kaset – biasanya cetak rompak kerana harganya jauh lebih murah, sekitar RM2.50 hingga RM3.

Selepas eksperimen pertama membeli kaset soundtrack filem Blue Hawaii yang dibintangi Elvis Presley dan kumpulan soundtrack filem-filem serta siri TV sci-fi Hollywood dan UK, saya mula merantau dalam mencari yang lain daripada yang biasa didengar di radio tempatan.

Pop Melayu 70-an

Seperti pelajar lain, tiada siapa dapat melarikan diri daripada siaran muzik di radio, sama ada lagu-lagu pop Melayu atau Inggeris, sama ada yang tempatan atau dari Barat.

Entah mengapa telinga saya gagal menerima kebanyakan lagu yang komersial itu. Tetapi tidak pula bererti menolak sama sekali. Apabila dikumandangkan di radio, tentu sahaja iramanya dapat didengar di mana-mana.

Akhir 1970-an merupakan era kemuncak kumpulan Black Dog Bone dengan lagu mereka Si Gadis Ayu, Carefree (Kebebasan), D.J Dave (Laguku untuk Mu) dan Dahlan Zainuddin (Kisah Seorang Biduan).

Menjelang dekad 1980-an saya terdengar pula lagu-lagu kumpulan rock Sweet Charity. Akhirnya bertemu dengan sesuatu yang keras, bingit dan jitu.

Dengan pembawaan rock terhadap lagu Kamelia (karya asal Camelia II daripada komposer Indonesia Ebiet G. Ade), Sweet Charity pimpinan Ramli Sarip telah membuka ruang baru dalam arena muzik Melayu – gabungan lagu puisi dengan rentak berat bersama suara rock yang kental.

Dari situ saya menikmati genre muzik Melayu yang selama ini terlalu berat ke arah pop komersial dengan lirik cinta-cintaan.

Mungkin kerana mencari sesuatu yang berlainan atau kerana jiwa memberontak, saya ketemu pula dengan Kembara pimpinan M. Nasir dan Blues Gang.

Kembara bereksprimen dengan pelbagai genre dalam ruangan pop rock manakala Blues Gang memperkenalkan rock blues ke dalam arena muzik pop Malaysia.

Kaset punk cetak rompak

Penemuan punk dan new wave mulai 1979 melalui radio RAAF dan rancangan John Peel di BBC World Service – semua ini didengar melalui radio kaset murah pembelian arwah ayah saya – dan kemudiannya mencari kaset-kaset di gerai-gerai kaset cetak rompak sekitar Penang Road, Burmah Road dan beberapa tempat lain.

Sedikit-sebanyak pengalaman ini telah saya catatkan dalam tulisan saya dalam buku Muda dan Melayu: Membesar Dalam Kepelbagaian Budaya hasil suntingan Ooi Kee Beng & Wan Hamidi Hamid terbitan Gerakbudaya (2016). Ia merupakan terjemahan daripada buku asal Young and Malay: Growing Up in Multicultural Malaysia (2015) daripada penerbit yang sama.

Dalam tulisan itu, saya mencatatkan:

“Secara tidak sengaja, saya membeli album Elvis Costello and The Attractions, berjudul Armed Forces. Nama band dan judul album mereka menarik. Saya menyangka kerana namanya Elvis, mungkin muziknya gaya band rock ‘n’ roll 50an. Ternyata muziknya aneh dan saya terus terpikat.

“Beberapa minggu setelah itu, seorang rakan sekelas memperkenalkan saya kepada The Eagles, band yang masyhur dengan lagu “Hotel California”. Dia memberikan saya salah satu album mereka dan beberapa album band lain.

“Saya lebih teruja dengan album-album lain, antaranya album Police, Outlandos D’Amour dan Regatta de Blanc, dan album Get the Knack kumpulan The Knack’s. Police, sebuah band tiga anggota, menghasilkan lagu-lagu hebat seperti “Roxanne” dan “Message in a Bottle”, manakala The Knack dengan lagu “My Sharona”.

“Saya langsung terpikat dengan muzik mereka. Saya tidak sedar bahawa muzik sedemikian digelar sebagai new wave oleh media Barat.”

Sebenarnya banyak lagi pengalaman saya sebagai seorang remaja skema yang menemui genre muzik sebegini sewaktu zaman sekolah yang telah saya catatkan dalam buku tersebut, termasuk menemui bahan-bahan bacaan tentang punk dan new wave di gerai-gerai majalah dan buku terpakai di Macalister Road di Pulau Pinang.

Majalah ZigZag dan Smash Hits

Dalam tulisan sama saya menulis: “Saya menemui majalah seperti Zig Zag, Smash Hits dan beberapa penerbitan untuk budak muda yang memuatkan gambar dan poster rocker punk dan ‘new wavers’.

“Saya juga berjaya mendapatkan kaset album The Jam, The Clash, Boomtown Rats, Sham 69, Blondie dan Siouxsie and the Banshees. Rasanya, saya mungkin satu-satunya orang yang meminati punk dan new wave di sekolah pada masa itu.

“Satu-satunya perkara yang melegakan ialah apabila seorang rakan sekelas memberikan beberapa pita rakaman dari koleksi abangnya, antaranya The Sex Pistols, The Damned, The Stranglers, Stiff Little Fingers, The Ramones, X-Ray Spex dan The Buzzcocks.

“Saya mula mengenal ikon punk seperti Johnny Rotten, Sid Vicious, Debbie Harry, Joey Ramone, Captain Sensible, Dave Vanian, Hugh Cornwell, Jean-Jacques Burnel, Joe Strummer, Mick Jones, Jake Burns, Poly Styrene dan Pete Shelley.

“Berkat majalah-majalah terpakai, saya mampu mengikuti ‘revolusi’ muzik. Ketika itu saya telah mula belajar membezakan antara bunyi muzik pop New wave (kemudiannya dikembangkan lagi dengan bunyi elektronik Human League dan band post-punk seperti Gang of Four, The Cult dan Joy Division) dan tenaga mentah punk rock.

“Menjelang tahun 1980, saya meneroka wilayah baru dengan band ska seperti The Specials, Madness, The Beat dan The Selecter. Sebahagian band, seperti The Vapors dan UB40, ditemui secara kebetulan, mungkin kerana saya menyukai nama mereka, termasuk kumpulan-kumpulan Mod seperti Secret Affair, The Lambrettas dan The Chords.

“Saya pernah menjadi peminat fanatik The Jam yang dikepalai oleh Paul Weller, disokong oleh Bruce Foxton dan Rick Buckler.

“Apabila new wave mula terbabas (setidak-tidaknya bagi saya) dengan kemunculan kumpulan-kumpulan yang digelar majalah British sebagai ‘New Romantics’, antaranya Duran Duran dan Spandau Ballet, saya mula mempersoalkan citarasa saya.

Mungkin silap saya sendiri gagal memahami perbezaannya atau salah saya kerana cuba menjadi lelaki macho. Kedua-dua band itu cenderung kepada fesyen. Saya lebih sukakan bunyi yang berat dan benci synthesiser pop, kecuali karya-karya awal Gary Numan and the Tubeway Army atau Orchestral Maneuvres in the Dark.”

Tiada gig live

Namun, satu lagi yang saya ingin kongsikan di sini adalah pengalaman ini lebih kepada menemui sesuatu yang baru dalam hidup yang sedikit-sebanyak mempengaruhi corak pemikiran saya. Apatah lagi apabila hanya mampu menikmati muzik melalui kaset dan rancangan radio asing kerana tiada persembahan live.

Kegersangan itu bukan kerana saya tidak tahu di mana gig punk atau di mana band-band tersebut. Sebenarnya, tiada band punk, maka tiada sebarang gig.

Seingat saya sejak letusan punk di UK pada 1976 hingga pertengahan 1980-an, tiada band punk dan new wave yang wujud di Pulau Pinang. Sekadar segelintir band heavy metal, itu pun masih terbawa-bawa gaya rock klasik 70-an.

Maka dengan itu, gig pertama saya adalah persembahan band popular pada masa itu, Blues Gang di auditorium Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, rasanya pada 1982. Tidak sampai setahun kemudian berpeluang pula menonton Sweet Charity dan Kembara di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Genre pop rock ini mudah diterima jiwa. Saya rasa real tanpa perlu menipu diri. Maklum sahaja, di usia remaja kita biasanya mahu menonjolkan gaya cool, walaupun tanpa sedar, tiada siapa yang peduli kecuali mereka yang di dalam geng masing-masing.

Jadi ada orang kata, jika sedang menggilai punk dan new wave, tentu meminati kumpulan tempatan dianggap sebagai guilty pleasure. Namun, saya tidak rasa begitu. Dari dulu hingga sekarang, lagu-lagu Sweet Charity, Kembara dan Blues Gang masih sedap didengar. Mungkin, sekali lagi, ini hanyalah nostalgia orang lama.

Nampaknya saya belum sempat membicarakan sama ada punk sebagai genre anti-establishment atau telah menjadi simbol kemarahan yang telah diperdagangkan. Jika belum bosan membaca, izinkan saya sambung dalam tulisan yang lain nanti.


WAN HAMIDI HAMID ialah seorang penulis dan pemerhati politik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Kolum

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password