Straw boleh buat Aishah bermasalah

Sejak menjalani pembedahan bariatrik untuk menyelesaikan masalah berat badan berlebihan, penyanyi Aishah terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga tambahan.

Ia bukan sekadar melakukan disiplin pemakanan yang tertentu, malah sesetengah amalan lazim yang dianggap biasa sebelum ini, kini menjadi larangan.

Satu daripada ‘pantang’ yang perlu diperhatikan oleh penyanyi Janji Manismu itu selepas menjalani pembedahan ialah minum menggunakan straw.

“Selama-lamanya saya tidak boleh minum menggunakan straw kerana bersama air yang disedut itu akan ada gelembung udara di dalamnya.

“Ia boleh memberi reaksi angin dalam perut.

“Minum menggunakan straw menyebabkan seseorang menelan jumlah angin berlebihan,” katanya yang ditemui ketika memenuhi undangan majlis pelancaran poster filem Kalla: Hidup Atau Mati di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin itu menjalani pembedahan ‘mengikat perut’ pada 27 Februari lalu.

Bukan boleh saja-saja

Bagaimanapun Aishah menjelaskan dia menjalani pembedahan itu bukanlah didorong oleh faktor kecantikan sebaliknya langkah mengatasi masalah berat berlebihan dan gastrik.

Keadaan diburukkan lagi dengan sejarah kecederaan pada kakinya akibat terbabit dalam kemalangan suatu ketika dulu.

Untuk rekod, pembedahan bariatrik ialah teknik perubatan yang digunakan untuk mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik atau pembuangan beberapa bahagian pada perut.

Walaupun kedengaran mengerikan selain disalah anggap sebagai pembedahan kosmetik, Aishah, 53, sebaliknya berkata ia kaedah paling selamat untuk mengatasi masalah berat badan melampau.

Kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu, prosedur yang dijalani itu banyak membantunya menjalani hidup lebih sihat. Misalnya, kata Aishah, berat badannya berjaya diturunkan 20kg berbanding 110kg sebelum ini.

“Sekarang saya makan hanya dua hingga tiga suap saja kerana ia sudah cukup untuk mengenyangkan perut.

“Pembedahan itu juga membuatkan saya boleh berjimat-cermat kerana makanan yang dibeli dari waktu pagi boleh dihabiskan pada sebelah malam.

“Selain itu, saya juga oleh menyanyi dengan lebih mudah” katanya.


Baca Aishah bawa Bahtera Merdeka, Susan dan Najwa titip doa


Bagaimanapun, kata Aishah hanya orang yang mengalami masalah kegemukan ketara saja wajar menjalani pembedahan berkenaan.

“Ini bukan pembedahan untuk kelihatan cantik semata-mata, hanya orangobesiti saja sesuai, bukan mereka mempunyai berat badan 60 kilogram dan berasa gemuk.

“Ia membantu memberi pilihan kesihatan kepada pesakit yang menghidapi masalah diabetis, kolestrol, tekanan darah tinggi, sakit tulang belakang dan sakit sendi,” katanya yang turut dikenang kerana lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah itu.

Semasa ditemui di majlis sama, juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu juga memberitahu, dia sedang merancang untuk muncul dengan karya baru.

Kata Aishah, jika tiada aral melintang, dia akan hadir menghiburkan peminat melalui single terkini.

“Ia berjudul Malar dan dihasilkan oleh Hazami,” katanya merujuk kepada seorang lagi peserta GV4.

 

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password