SPRM perlu tolak peruntukan RM5j Najib


Semalam dalam program sambutan ulang tahun ke-50 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan peruntukan segera RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM yang berperanan menjaga kebajikan warga badan itu.

Peruntukan segera RM5 juta ini dibuat selang beberapa hari selepas Najib mengumumkan yang beliau telah menyerahkan senarai sebahagian calon BN untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) untuk disaring SPRM.

Peruntukan segera ini juga dibuat pada ketika Jabatan Peguam Negara belum lagi menerima kertas siasatan SPRM berkenaan RM42 juta wang SRC International Bhd yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Malah pembongkaran ketua pembangkang minggu lalu terhadap jumlah kompaun RM115.8 juta yang dikenakan Bank Negara Malaysia terhadap entiti-entiti berkait skandal mega 1Malaysia Development Bhd (1MDB) turut melibatkan Najib.

Ini kerana pada ketika kesalahan tersebut berlaku, Najib merupakan Perdana Menteri yang perlu memberi kebenaran bertulis kepada sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan) berdasarkan Artikel 117 Memorandum & Artikel Pertubuhan 1MDB pada yang terpakai pada ketika itu.

Mengambil kira perkara-perkara ini, dan mengambil kira SPRM akan membuat saringan tidak wajib terhadap calon BN di mana Najib adalah pengerusi dan juga salah seorang calon, peruntukan segera RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM ini bakal mengundang pelbagai spekulasi tidak sihat di kalangan orang ramai.

Malah sukar mengelak kemungkinan peruntukan segera ini dilihat sebagai suatu hadiah atau derma yang mungkin bermotif politik.

Justeru untuk mengelak spekulasi atau persepsi tidak sihat, SPRM wajar mengambil pendirian moral yang jelas dan memulangkan ‘derma’ RM5 juta ini kepada pihak kerajaan.

Dengan memulangkan wang ini, SPRM akan menjadi contoh terbaik kepada rakyat Malaysia bahawa bukan sahaja rasuah yang perlu ditolak, malah sebarang hadiah atau derma yang mungkin dilihat sebagai rasuah juga perlu ditolak.

Pada masa sama, saya berharap anggota parlimen pembangkang dan juga kerajaan akan mengambil maklum isu peruntukan serta kebajikan SPRM ini, dan membahasnya pada sidang akan datang.

Parlimen sebagai badan perundangan merupakan forum terbaik untuk mengumumkan peruntukan kepada SPRM dan Yayasan Prihatin SPRM, berbanding pengumuman oleh Perdana Menteri yang merupakan ketua eksekutif. Ini adalah untuk mengelak persepsi SPRM tidak bebas dari pihak eksekutif.

Selain itu, Parlimen juga perlu mengeluarkan SPRM dari Jabatan Perdana Menteri dengan menjadikannya badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen.


FAHMI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – Surat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password