SPRM atur langkah di sempadan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dan sedang mengatur langkah untuk mengambil tindakan, termasuk menahan pegawai agensi-agensi penguat kuasa yang terlibat dengan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa di kawasan sempadan negara.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengakui sesetengah agensi penguat kuasa yang bertugas di kawasan sempadan sudah dijangkiti virus rasuah yang menyebabkan aktiviti penyeludupan berlaku.

“Insya-Allah, bila saya sebut (nak tangkap), adalah tu… tapi saya tak boleh nak beritahu sekarang. Kita kena buat perancangan yang rapi. Sempadan ini luas, jadi tunggulah, akan ada tangkapan (yang akan SPRM buat),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Kembara Jelajah Anti-Rasuah (KEJAR’17) sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas SPRM peringkat Kelantan di Kompleks Perpaduan Tumpat di Kelantan, hari ini.

Bagaimanapun, Dzulkifli tidak menjelaskan lebih lanjut agensi keselamatan yang terbabit dengan aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa di sempadan negara.

Ditanya mengenai keengganan Selangor yang sehingga kini masih belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), beliau berkata perkara berkenaan sebenarnya tidak sukar untuk dilaksanakan.

“Selangor nak tambah 20 inisiatif (dalam IBR) seperti dilaksanakan Pulau Pinang pun tak apa, kita boleh benarkan. Apa susahnya buat ikrar… rakyat nak tengok komitmen kerajaan negeri untuk pastikan pentadbiran bebas daripada rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkifli turut mengingatkan mana-mana pihak yang memberi komen terhadap siasatan yang dilakukan SPRM boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009 (Akta 694) kerana mengganggu siasatan.

Beliau merujuk kepada kes berkaitan penahanan tiga setiausaha politik, kerani dan pembantu peribadi seorang anggota Parlimen pembangkang di Selangor pada Khamis lepas.

Katanya SPRM turut merekodkan keterangan daripada anggota Parlimen tersebut pada Khamis lepas selepas beliau hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

-Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password