“SPRM Akan Bekukan Akaun Penerima Dana 1MDB, Diharap Penerima Dana 1MDB Tampil Dan Menyerahkan Wang 1MDB Secara Sukarela, Jika Gagal, Tindakan Undang-Undang Akan Diambil,”SPRM..

“SPRM Akan Bekukan Akaun Penerima Dana 1MDB, Diharap Penerima Dana 1MDB Tampil Dan Menyerahkan Wang 1MDB Secara Sukarela, Jika Gagal, Tindakan Undang-Undang Akan Diambil,"SPRM..
Semua pemilik akaun yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diminta supaya mengembalikan wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara sukarela jika tidak mahu tindakan undang-undang dilucutkan harta dan saman dikenakan terhadap mereka lapor Berita harian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, dana daripada 1MDB yang mengalir ke akaun yang dibekukan dianggap sebagai ‘wang haram’ dan perlu dipulangkan semula.

“Semua akaun yang kami syaki terima dana 1MDB, SPRM bekukan. Kami meminta pemilik akaun termasuk milik individu, parti politik atau persatuan diminta agar tampil berjumpa dengan SPRM sekiranya ada masalah.

“Kami meminta mereka untuk tampil dan menyerahkan wang 1MDB secara sukarela, jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya ketika sidang media sejurus melancarkan buku Corruption and Crime In Malaysia, Perception or Reality tulisan Presiden Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar di Gerakbudaya Bookstore, Seksyen 11, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bentuk tindakan undang-undang yang bakal dikenakan kepada pemilik akaun yang ingkar, Mohd Shukri berkata, Pasukan Petugas Khas akan mengambil tindakan melucutkan harta dan saman.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua wang 1MDB yang mengalir ke mana-mana akaun akan dikembalikan semula dengan menggunakan semua bukti dan maklumat yang ada.

Mohd Shukri turut menegaskan kemungkinan bilangan akaun yang bakal dibekukan bagi memberi laluan kepada siasatan skandal 1MDB itu akan bertambah.

Menjelaskan pihaknya tidak memberikan sebarang notis kepada pemilik akaun sebelum dibekukan, Mohd Shukri berkata, tiada keperluan untuk melakukan tindakan itu kerana ia seolah-olah memberikan amaran kepada pemilik akaun agar ‘mencuci’ akaun masing-masing.

Akhbar NSTP hari ini melaporkan sebanyak 408 akaun bank membabitkan dana RM1.1 bilion dibekukan Pasukan Petugas Khas (1MDB) setakat ini.

Pasukan Petugas Khas 1MDB menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, pembekuan akaun bank dilakukan pada 26 dan 29 Jun lalu membabitkan akaun milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Sumber : PenMerah

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password