Skandal hartanah Johor: HARAPAN tuntut komitmen SPRM

 

Pakatan Harapan Johor menuntut komitmen Suruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatannya terhadap skandal hartanah bumiputera di negeri itu.

“Kenyataan tersebut secara tidak langsung telah mengesahkan kesahihan dokumen kenyataan rakaman percakapan berkaitan skandal hartanah melibatkan exco negeri Johor.

“Justeru, HARAPAN ingin tahu, apakah jaminan komitmen pihak SPRM selepas menerima maklumat tersebut?

“Apakah tindakan yang akan diambil?” soal pemimpin-pemimpin kanan HARAPAN negeri dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi HARAPAN Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor Aminulhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi DAP JohorLiew Chin Tong.

SPRM kelmarin mengesahkan pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan berstatus rahsia melibatkan kes bekas exco yang disiasat pada awal tahun ini dan akan membuat laporan polis.

Mac lalu, exco kerajaan Johor Datuk Abdul Latif Bandi ditahan dan didakwa sebulan kemudian atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Dalam serbuan 25 Februari lalu, SPRM merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen untuk membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta dibekukan.

Sementara itu, HARAPAN hari ini menuntut SPRM menyatakan komitmen itu memandangkan skandal yang berlaku melibatkan kepentingan keseluruhan rakyat Johor.

HARAPAN sekali lagi mendesak Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin mengemukakan penjelasan memandangkan nama beliau dikaitkan dalam isu itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memetik sebuah laman web yang mendakwa Khaled menerima suapan RM12 juta untuk menukar status lot perumahan bumiputera.

Malaysiakini sebelum ini telah menghubungi pihak di pejabat menteri besar Johor tetapi tiada reaksi diberikan.

Khalid masih membisu terhadap dakwaan itu. Bagaimanapun, NGO negeri Persatuan Pemikir Muda Johor menyifatkan tuduhan itu hanya “berdasarkan andaian semata-mata dengan ditambah rencah memuat naik sebuah lampiran pengakuan saksi kes tersebut”.

SPRM pula dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan jadual pembayaran yang dimuat naik di Internet “sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat”.

Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password