Siapa beri dana Kelab Putera 1Malaysia?

Exco Dr Afif bahardin mempersoalkan sumber dana Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), yang mengulurkan sumbangan dalam jumlah beberapa kontena besar di Pulau Pinang, beberapa hari selepas banjir besar surut di negeri itu pada 5 November.

Afif berkata, beliau tidak mempersoalkan niar kelab prokerajaan atau memperlekeh usaha mereka membantu mangsa banjir.

“Malah, saya mengalu-alukan usaha membantu warga Pulau Pinang, tidak kira siapa mereka.

“Namun saya mempersoalkan dana organisasi ini kerana Putrajaya tidak menghulurkan apa-apa dana untuk banjir,” katanya dalam satu sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.

“Dari mana duit itu datang? Mereka bawa barang isi rumah seperti bantal dan tilam yang tertera gambar Perdana Menteri Najib Razak dalam kontena-kontena besar.

“Sumbangan seperti itu seharusnya diserahkan kepada jabatan kebajikan,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu.

Sebanyak 40 kontena tiba di pejabat daerah di Seberang Perai baru-baru ini yang mengandungi antaranya tilam, bantal, selimut, susu bayi, makanan, dan khemah.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Abdul Azeez Rahim dipetik sebagai berkata, KP1M telah memobilisasi pasukan yang terdiri daripada 500 sukarelawan bagi membantu usaha membersihkan kawasan terjejas.

Afif berkata, ramai NGO menawarkan bantuan namun KP1M merupakan penyumbang terbesar.

“Saya tidak salahkan jabatan kebajikan. Saya cuma tertanya dari mana mereka dapatkan dana? Mungkinkah penderma Arab?” soal Afif.

Afif berkata demikian sebagai sindiran terhadap kenyataan Najib sebelum ini yang bertegas RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya adalah daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

[Berita penuh]



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password