Shuib ‘korbankan’ Sepahtu Sinar demi Siti Sarah

 

Majlis sambutan mengenang kemunculan program Sepahtu Sinar di stesen radio Sinar FM hari ini tidak menjadi kenyataan apabila berlaku kejadian tidak diduga.

Sepatutnya sempena peringatan tahun kedua program yang mendapat sambutan ramai itu, Shuib bercadang ‘melaram’ dengan pakaian cantik bersama rakan penyiar lain.

Bagaimanapun ada hal yang lebih mendesak berlaku tiba-tiba. Isteri Shuib, Siti Sarah Raisuddin, tiba-tiba mengalami tekanan darah rendah.

Shuib juga mengumumkan untuk mengundur diri daripada slot berkenaan yang bersiaran mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat itu bermula hari ini.

“Sebenarnya hari ini adalah hari lain daripada yang lain. Kerana ini adalah hari terakhir saya di Sepahtu Sinar.

“Memang berat hati, tetapi memandangkan keadaan yang ada, saya kena juga buat keputusan,” katanya.

Makluman yang penuh emosi itu turut disiarkan secara langsung oleh Shuib melalui Sinar FM kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

“Hari ini patut saya masih lagi berkerja di Sepahtu Sinar malah sudah pun merancang memakai pakaian yang disukai dan bergambar dengan semua orang di sana.

“Tetapi tidak sangka pula jadi macam ini,” katanya melalui perkongsian di media sosial pula.

Mohon terus beri sokongan

Untuk makluman, Siti Sarah yang pernah memarakkan semula lagu Sandarkan Pada Kenangan dengan berduet bersama Datuk Jamal Abdillah terpaksa dikejarkan ke hospital malam tadi.

Tekanan darahnya itu menurun ketara ekoran penyakit gastrik yang dialami.

Keadaan itu kata Shuib sangat membimbangkan sehingga Siti Sarah sempat meminta maaf kepadanya dan bercakap tidak seperti selalu lagi.

Bagaimanapun menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 33, keadaan Siti Sarah kini beransur pulih.

“Nasib baik cepat ke hospital… malam tadi tekanan darah dia turun habis… tetapi keadaan dia pagi ini dah semakin baik,” katanya.

Shuib bersyukur terhadap peminat yang tidak henti-henti bertanya khabar dan mendoakan kesihatan isterinya itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan Sarah.

Pada masa sama, Shuib turut meluahkan kekesalannya kerana terpaksa menarik diri daripada mengendalikan program yang mula bersiaran sejak 2015 itu bersama dua lagi rakan lain iaitu Jep dan Rahim.

“Teruskan memberi sokongan kepada Sinar FM, saya mohon maaf kepada peminat kerana tidak boleh lagi bersama Sepahtu Sinar atas desakan kerja dan masa,” katanya.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password