Sheila Majid janji tebus kecewa peminat

 

Buat peminat, usah kecewa sangat, kerana walaupun terpaksa dibatalkan Datuk Sheila Majid berazam untuk menebus kehampaan itu pada kesempatan akan datang.

Itu janji Sheila buat peminat yang sepatutnya dapat menyaksikan dia beraksi di atas pentas di Jakarta pada 20 Jan ini.

Kata Ratu Jazz itu pembatalan konsertnya itu terpaksa dibuat selepas membuat perbincangan serta mengambil kira pelbagai faktor yang ada.

“Selepas mengadakan banyak perbincangan dan pertimbangan, dengan penuh rasa kesal saya terpaksa mengumumkan penangguhan konsert di Jakarta kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Saya memohon maaf kepada setiap peminat saya. Tetapi saya akan menebus ia semula dengan anda semua,” katanya melalui akaun Instagram hari ini.

Sheila dijadual menghiburkan peminatnya di JIExpo Kemayoran, Jakarta Pusat sembilan hari lagi.

Ia adalah konsert berskala besar dan disebut-sebut bakal menjadi sebahagian daripada siri persembahannya di pelbagai lokasi di serata dunia.

Dapat naik taraf

Antara bandar raya yang ditetapkan untuk menjadi lokasi konsert Sheila ialah Singapura, Tokyo, London, Los Angeles, San Francisco dan Amsterdam.

Sheila Majid The Concert Jakarta 2018 itu katanya terpaksa ditangguhkan kerana penganjur berdepan dengan masalah teknikal luar jangka.

“Terima kasih semua atas kata-kata semangat yang diberikan.

“Kita hanya merancang Allah SWT menentukan apa yang terbaik buat kita. Kita akan ketemu nanti… pasti! In shaa Allah…” kata Sheila lagi.

Bagaimanapun, tiket yang telah dibeli masih sah digunakan untuk konsert penyanyi Antara Anyer Dan Jakarta itu.

“Tiket yang dibeli layak digunakan untuk konsert bertarikh baru. Pelanggan yang berniat untuk menunggu akan diberikan penaiktarafan secara percuma.

“Bagi pemegang tiket premium mereka akan mendapat barangan rasmi,” menurut satu kenyataan yang turut dimuat naik bersama-sama status Sheila itu.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password