Setia Amy pada JDT, tak berganjak walau kalah

Vokalis kumpulan rock legenda Search, Amy meramalkan pasukan pilihannya Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mencatat kemenangan 2-0 mengatasi Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, esok.

Bagi Amy, kalah atau menang adalah adat pertandingan.

Namun sekiranya JDT gagal dalam usahanya sekalipun, anak kelahiran Johor itu berkata dia tidak akan kalah dari segi sokongan dan semangat.

“Saya harap Johor akan menang Piala Malaysia nanti kerana saya pasti akan meraikan kemenangan itu.

“Tetapi jika pasukan saya (JDT) sudah berada di ambang kekalahan pada malam itu, saya tetap tidak akan meninggalkan stadium begitu saja.

“Setia saya pada pasukan. Selagi mereka ada di situ (stadium), saya juga akan tunggu hingga segala-galanya selesai,” katanya.

Amy berharap penyerang berbisa, Mohammad Ghaddar dan kapten pasukan Safiq Rahim akan menghasilkan jaringan buat JDT.

Pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 59, itu ditemui pada sidang media pelancaran album Search ke-12 Khatarsis di Kuala Lumpur semalam.

Kata penyanyi Fantasia Bulan Madu itu, dia sudah pun membuat persediaan untuk bersama-sama pasukan penyokong JDT bagi menyaksikan perlawanan sengit berdepan Kedah di stadium nanti.

“Sudah tentu saya akan berada di stadium Sabtu ini, tiket dah ada mesti pergi,” katanya.

Sementara itu, menerusi sebuah klip video, Amy sempat memberikan kata-kata semangat buat JDT dan Kedah yang bakal berentap.

“Kedua-dua pasukan perlu berikan yang terbaik. Perlawanan bersih (clean game) OK!,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password