Seorang lagi doktor gigi palsu kena penjara dan denda RM70,000


SEORANG lagi doktor gigi palsu dijatuhkan hukuman 1 bulan penjara dan denda RM70,000 atau tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur terhadap tertuduh kerana kesalahan menjalankan perkhidmatan Pergigian tanpa lesen di sebuah hotel bajet bulan lalu.

Hakim Harmi Thamri Mohamed @ Shaharuddin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Chen Jianghong, seorang lelaki Warganegara China selepas dia mengubah pengakuan kepada pengakuan bersalah hari ini.

Tertuduh berusia 40-an tahun itu dituduh menjalankan sebuah Klinik Pergigian swasta tanpa mendaftar di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 5(1)(a)(i) akta yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat 2 Hotel Regalia, Wisma Chha Yong Fay pada 10.55 pagi 28 September 2017.

Tuduhan itu membawa hukuman maksimum denda RM300,000 atau hukuman penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara Chen dikira sejak tarikh tangkapan pada 28 September lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim berkata lelaki memiliki seorang anak itu telah melakukan satu jenayah yang serius kerana dia tidak memiliki sebarang pengalaman sebagai seorang doktor gigi.

“Tertuduh, seorang rakyat China tidak patut menjalankan perkhidmatan pergigian dalam negara ini tanpa mendapatkan lesen dari Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sebelum itu, timbalan pendakwa raya Nurul Khairiyah Samsudin berkata, hukuman setimpal patut dijatuhkan keatas tertuduh kerana kesalahan ini melibatkan kepentingan awam.

“Tertuduh tidak menghormati undang-undang kita. Perkhidmatan Pergigian hanya boleh dijalankan oleh doktor-doktor yang berdaftar,”

“Terdapat beberapa kes serupa di Kedah, Johor, dan Pahang, di mana sebahagian mereka telah didenda sebanyak RM250,000 dan RM300,000,” katanya.

Chen yang diwakili oleh peguam Tan Teck Yew bagaimanapun memohon hukuman diringankan, kerana anak guamnya merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan. — EdisiRakyat.com, 27 Oktober 2017



Sumber : – EdisiRakyat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password