‘Semangat Zamihan tetap tinggi’

Meski berjauhan dengan anak isteri dan sudah tiga hari tidur di dalam lokap polis, semangat Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wan Jamaah (ASWAJA) Zamihan Mat Zin dikatakan tetap tinggi.

Disertakan dengan petikan kata-kata penaik semangat suatu kemas kini di akaun Facebook Zamihan menyatakan penceramah terbabit mengirim salam serta mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepadanya.

“Walau bagaimanapun pedihnya berjauhan dengan anak isteri, tidur di dalam lokap yang ngeri Ustaz Zamihan bertambah semangat untuk mempertahankan agama Islam dengan akidah yang sahih.

“Biar tertanggal segalanya (pangkat dan jawatan), urusan menegakkan Islam tetap diteruskan,” kata status berkenaan yang dikendalikan pentadbir akaun berkenaan.

Zamihan ditahan pada 11 Oktober dan polis mendapat kebenaran majistret untuk direman dua hari mulai semalam seksyen 4A Akta Hasutan 1948.

Penceramah yang terkenal lantang itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran ceramahnya di Shah Alam pada 8 Okt lalu yang didakwa berbaur perkauman serta menghina Sultan Johor.

Zamihan ketika itu memberi pandangan berhubung sebuah pusat dobi mesra Muslim yang diarah menukar dasarnya atau berdepan risiko ditutup oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu akaun Facebook Zamihan juga mengajak orang ramai supaya hadir menyambut pembebasan Zamihan di kawasan parkir Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 3 petang esok.

“Setelah Zamihan memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa, maka beliau bakal dibebaskan esok 14 Okt dalam pukul 3 petang.

“Pihak guaman Zamihan sedang menyelesaikan baki prosedur.

“Kami pihak admin mengalu-alukan semua pihak untuk hadir bersama menyambut pembebasan Zamihan di kawasan parkir IPD Dang Wangi,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan terhadap Zamihan yang didakwa mengkritik institusi diraja dalam ceramahnya.

Menurut Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, arahan itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“MAIS menegaskan bahawa semua penceramah agama di Selangor hendaklah mematuhi segala peruntukan dalam Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Ini termasuklah tidak menyampaikan ceramah agama yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau boleh menunjukkan kebiadaban terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan, juga terhadap kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa agama Islam negeri atau yang boleh mewujudkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password