Selangor henti langgan Utusan, BH sebab lemah

Tindakan kerajaan Selangor menghentikan langganan akhbar di bawah kumpulan Utusan Malaysia dan Berita Harian dianggap tidak profesional selain dilihat cuba menutup kelemahan pentadbirannya daripada pengetahuan umum.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan media merupakan medium yang berfungsi dalam memberi pengetahuan kepada masyarakat.

Katanya walaupun ada kemungkinan laporan berita yang disiarkan kurang tepat, perkara itu boleh diselesaikan mengikut pelbagai prosedur termasuk menerusi aspek perundangan.

“Kalau mereka tak lemah, kenapa takut? Walaupun ada laporan tak tepat, mereka boleh respons, mereka boleh komen dan kalaupun sampai ke peringkat melampau, mereka boleh ambil tindakan perundangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arena Square Kospen, Kampung Kunci Air 4, Sungai Manik dekat Teluk Intan , hari ini.

Khamis lepas, kerajaan Selangor mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan kedua-kedua akhbar berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan menerusi surat pekeliling yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Nege­ri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Menurut Tajuddin, tindakan kerajaan Selangor itu juga dilihat sebagai cubaan untuk menafikan hak rakyat dalam mengetahui pelbagai isu di negeri tersebut.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak menegaskan rakyat di Selangor perlu menilai dan tidak sesekali terpengaruh dengan tindakan dangkal dilakukan kepimpinan negeri.

Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password