Save Me menyentuh hati tanpa perlu kata-kata

Kerana percaya haiwan juga mempunyai perasaan kasih sayang dan nyawa itu tetap berharga seperti manusia, justeru itulah pengarah dan penulis Iran, Mohsen Nabavi, menghasilkan Save Me.

Mohsen berkata, dia berasa terpanggil untuk menghasilkan karya yang boleh menyentuh banyak jiwa itu selepas mendapati banyak kezaliman dilakukan ke atas haiwan di pelbagai tempat dalam dunia.

“Idea itu datang apabila saya menonton berita yang memaparkan tragedi pembunuhan haiwan di seluruh dunia.

“Sebagai pengarah, saya berharap filem ini boleh mengetengahkan elemen emosi, kasih sayang dan cinta terhadap alam semula jadi dan menyebarkan yang menyentuh perasaan,” katanya.

Mohsen ditemui pada sidang media memperkenalkan filem Save Me dan sebagai pemenang kategori filem pendek Festival Filem Eco Kuala Lumpur (KLEFF) 2017 dan Malaysia 1st International Short Filem Making Collaboration di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Pengarah Kreatif c8 Media, Julez Wong, dan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Walaupun tanpa menggunakan suara atau dialog, naskhah Mohsen itu dilihat mampu meruntun hiba hati orang yang menonton.

Save Me ialah kisah penuh emosi yang bercerita mengenai keagungan kasih seorang ibu yang cuba menyelamatkan anak perempuannya selepas ditangkap pemburu di dalam hutan.

Filem itu disiapkan pada 2016 selepas menjalani penggambaran selama lima hari di hutan Beshel di utara Iran.

Mula-mula ada sangsi

Filem pendek yang terhasil melalui kerjasama Iran dan Malaysia itu turut memenangi enam lagi anugerah di peringkat antarabangsa.

Antaranya Festival Filem Parsi Australia, Festival Filem Eurasia Antarabangsa di Russia dan Anugerah Filem Bebas Antaranbangsa di Itali.

Bagaimanapun Save Me dipercayai akan menerima lebih banyak penghargaan antarabangsa kerana secara keseluruhan ia dihantar untuk dinilai di 249 acara.

Daripada jumlah itu 88 keputusan masih belum diputuskan.

Sementara itu Mohsen berkata, kejayaan Save Me menguatkan semangatnya untuk terus menjalin kerjasama dengan lebih ramai penggiat seni.

“Saya percaya Malaysia adalah sebuah negara hebat yang mempunyai banyak potensi untuk diteroka.

“Dengan sokongan padu dari Malaysia lebih banyak kerjasama dapat dihasilkan.

“Saya berharap lebih banyak filem yang mampu mendidik dapat disampaikan kepada masyarakat sebelum ia diketengahkan untuk diadili di festival filem antarabangsa,” katanya yang mempunyai pengalaman tujuh tahun dalam bidang pembikinan filem pendek dan penulisan.

Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Julez (gambar) berkata, pada awalnya dia begitu skeptikal dengan impian Mohsen kerana tidak yakin mereka boleh merealisasikan matlamat itu sebaik mungkin.

“Mohsen mula bercakap mengenai impiannya namun kami rasakan hampir keseluruhannya mustahil untuk dilaksanakan.

“Oscar hanya milik California, jadi kami mula fikirkan sesuatu yang berlainan agar dapat diingati ramai khususnya selepas menyertai pertandingan festival di luar negara.

“Malaysia juga terpilih memasuki pencalonan di 26 buah negara lagi kerana Save Me,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password