Sangeeta sekali lagi menang Pelakon Wanita Terbaik

Selepas diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM29), nama Sangeeta Krishnasamy sekali dipilih sebagai pemenang bagi kategori sama pada Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2017 (APFKL2017).

Pelakon utama yang meraih kemenangan menerusi filem Adiwira Ku itu berkata, dia tidak menyangka diberikan kegembiraan berganda dengan meraih dua kejayaan singkat dalam anugerah perfileman.

“Saya berasa ia seperti betul-betul magis. Ketika saya masih lagi mengecapi detik indah kejayaan pada FFM29, kini saya menerima pula berita menggembirakan ini,” katanya.

Sangeeta yang baru pulang dari aktiviti mendaki Gunung Kinabalu berkata, dia dimaklumkan mengenai kemenangan itu oleh seorang rakan, selain membacanya di Twitter.

“Saya amat bersyukur dan kejayaan ini pastinya bukan milik saya semata-mata. Ia kemenangan bersama seluruh pasukan filem Adiwira Ku,” katanya seperti dilapor BH Online.

APFKL2017 diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sangeeta sebelum ini mengungguli kategori berkenaan pada malam FFM29 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 September lalu.

FFM29 turut menyaksikan naskhah diarahkan Eric Chong itu menggondol Anugerah Utama iaitu Filem Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Dalam pada itu, ditanya sama ada filem berkisarkan kegigihan seorang guru Bahasa Inggeris itu bakal disambung, Sangeeta berkata, hingga kini dia belum memperoleh sebarang perkembangan baru mengenai perkara itu.

“Rasanya lebih baik perkara itu ditanyakan kepada pihak penerbit. Namun, jika benar ia menjadi realiti, saya tentu sangat gembira,” katanya.

Selain Sangeeta, APFKL2017 turut mengangkat nama Saw Teong Hin sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem You Mean The World To Me; Zahiril Adzim (Pelakon Lelaki Terbaik / filem Pekak); Amerul Affendi (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik /filem Pekak); dan Datin Sofia Jane (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik / filem Hanyut).



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password