Rimas dengan isu ‘kunyit’ Sharnaaz terkenang Tok Mat

 

‘Ribut’ di kalangan sesetengah peminat terhadap isu Nur Sajat membawa pelakon, Sharnaaz Ahmad, terkenang kepada detik kegemilangan zaman “rock kapak” (sempena istilah car park)serta ketegasan menteri penerangan ketika itu Tan Sri Mohamed Rahmat.

Berbeza dengan waktu dulu, kata Sharnaaz, pada saat ini negara amat memerlukan seseorang yang berpendirian tegas seperti sifat ditunjukkan Mohamed dalam menangani isu rambut panjang sekitar 1990-an dulu.

Mengimbau detik itu, Sharnaaz berkata, sebelum seseorang anggota kumpulan rock ingin membuat sebarang kemunculan dalam TV, mereka perlu mendisiplinkan diri melalui imej yang ditetapkan kerajaan.

Ekoran dasar itu beberapa kumpulan rock berdepan cabaran getir kerana ruang untuk mereka menonjolkan diri begitu terhad.

Untuk rekod pada waktu itu kemudahan Internet belum ada, manakala stesen televisyen pula terhad kepada RTM (milik kerajaan) dan TV3 saja.

Susulan itu, Mohamed atau beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Tok Mat mengarahkan mana-mana kumpulan rock memotong rambut serta berpakaian kemas jika hendak muncul di televisyen atau media cetak.

“Dulu zaman rock aku budak kecik, menjerit menteri Mohd (Mohamed) Rahmat suruh potong rambut, konon bagi rosak akidah.. la ni berterabur geng kunyit hybrid ni, mana menteri sehebat Mohd Rahmat?

“Hilang zaman rock kapak, kami sedih!!! Tolong hilangkan geng kunyit, kami bersyukur!!!” tulis pelakon drama Suamiku Encik Sotong itu di media sosial.

Kenyataan bersahaja itu keluar daripada Sharnaaz ketika orang ramai membincangkan isu lesbian, gay, biseksual dan trasgender (LGBT) termasuk melibatkan golongan artis.

Jangan pejam mata

Istilah “kunyit” yang disebut Sharnaaz itu pula merujuk kepada bahasa simbolik generasi semasa yang menunjukkan amalan hubungan sejenis di kalangan lelaki.

Terdahulu, isu LGBT dibangkitkan Sharnaaz itu dipercayai mempunyai hubung kait dengan status pernah dimuat naik olehnya mengenai Nur Sajat sebelum ini.

“Sajat, kalau ko pondan kami tak marah, quit playing games with our heart. Paling kuat pun gamkan dia dari TV media sosial dan viral.

“Jangan buat dono (tak tahu) je akhirat nanti susah kalau disoal,” katanya.

Dalam pada itu, Sharnaaz turut ‘merayu’ supaya isu LGBT yang semakin berleluasa di negara ini ditangani dengan sebaik mungkin.

“Negara kita ada Jakim, (jabatan agama Islam) semua ada… cubalah ambik tahu sikit.. jangan ashik (asyik) tangkap rumah pelacuran.. banyak dok melacur dalam media sosial..

“LGBT nauzubillah janganlah kita pejam mata… rayuan ikhlas dari manusia tak sempurna ni…” katanya.

Persoalan mengenai jantina sebenar Nur Sajat baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial terutama apabila usahawan kosmetik itu mendakwa dirinya adalah wanita tulen dan bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang lelakinya.

Nur Sajat kemudian mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Hasil pertemuan itu, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof, memaklumkan telah menemui jalan penyelesaian untuk mengesahkan identiti Nur Sajat.

Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password