Remaja didakwa sembunyi kelahiran dengan buang mayat bayi

Seorang remaja wanita yang masih dalam pantang didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi lelaki dua minggu lepas.

Alita Waang, 19, yang bekerja sebagai pembantu restoran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Subang Jaya, pada 10.50 malam 14 Oktober lepas mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh masih dalam pantang dan hanya berpendapatan RM650 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang hanya menundukkan kepalanya itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password