Ratu cantik mahu sudu, garfu pula untuk ‘gaun nasi lemak’

Jika nasi lemak boleh dijadikan busana taruhan ratu cantik Malaysia di Vegas bulan depan, tidak salah sekiranya peralatan sudu dan garfu turut menjadi pelengkap ‘hidangan’ itu.

Untuk penambahbaikan, peserta Miss Universe 2017 Samantha Katie James mencadangkan sudu dan garfu ditambah bagi menaikkan seri keunikan busananya.

“Peserta dari Myanmar pernah memenangi kategori itu apabila membawa hiasan busana begitu besar sewaktu memperagakan gaun bagi kategori pakaian kebangsaan mereka.

“Kalau peserta itu boleh menari seperti boneka, saya juga boleh menggayakan pakaian nasi lemak sambil berjalan memegang sudu dan garfu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Filem Televisyen (FTV) Wanita Terindah di Kuala Lumpur semalam.

Samantha, 22, antara pelakon yang menjayakan FTV arahan Joon Goh di samping pelakon popular Fattah Amin dan Fazura.

Peserta Myanmar Htet Htet Htun memenangi anugerah pakaian kebangsaan terbaik Miss Universe 2016 yang di Manila, Filipina Januari lalu.

Rekaan fesyen ala persembahan tradisional “boneka Burma” seberat 40 kilogram yang digayakan Htun berjaya mencuri tumpuan juri selain menjadikannya menonjol berbanding 85 peserta lain.

Sejak gaun nasi lemak rekaan Brian Khoo diumumkan bakal mewakili Malaysia ke AS bagi pertandingan Miss Universe 2017 edisi ke-66 Selasa lalu, tema itu mengundang pelbagai reaksi umum.

Walaupun menerima pujian, tokoh terkenal seperti pereka fesyen Hatta Dolmat dan tukang masak Datuk Cef Wan antara yang mempertikaikan gaun berkenaan yang didakwa kurang memuaskan.

Hatta berkata dia tidak menyangka Pertubuhan Miss Universe Malaysia sanggup memperlekehkan fesyen apabila menghantar wakil ke sebuah pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Tergamaknya hantar ini (merujuk gaun nasi lemak) mewakili Malaysia untuk Miss Universe… Alahai… Sedihnya,” katanya menerusi Instagram.

Cef Wan juga menerusi Instagram mengecam material pakaian digunakan kerana seolah-olah nampak tidak berkualiti dan murah.

“Seeloknya memerlukan lebih usaha dan kualiti La Brian untuk memasuki pertandingan Miss Universe. Fabrik digunakan itu seperti langsir bawah sinki arwah nenek saya di kampung,” katanya.

Mengulas kenyataan itu, Samantha meminta agar dia diberikan ruang bagi membuktikan Malaysia boleh muncul sebagai pemenang kategori pakaian kebangsaan itu kerana tema makanan belum pernah ditampilkan mana-mana negara sebelum ini.

“Untuk tahun-tahun sebelum ini, Malaysia sudah mengetengahkan elemen wau bulan dan songket, justeru kita tidak mahu mengulangi tema sama.

“Peserta Thailand pernah memenangi kategori pakaian terbaik kebangsaan sewaktu Miss Universe 2015 apabila memperagakkan Tuk Tuk, ini bukan elemen tradisional sebaliknya kenderaan,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – Seni & Hiburan

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password