Rampasan RM13.5 juta: Seorang lagi individu ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan wang tunai RM13.5 juta dalam serbuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu baru-baru ini yang disyaki membabitkan sindiket pelacuran.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan oleh pasukan khas kira-kira 12 tengah hari semalam di sebuah rumah di Jalan Kompleks Api-Api di Kota Kinabalu, iaitu lokasi sebahagian wang tunai itu ditemui.

“Wanita berkenaan merupakan isteri seorang daripada yang dipercayai dalang utama dalam kes penemuan wang jutaan ringgit berkenaan. Dengan penahanan itu, seramai empat orang dalang telah ditahan kini,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu semalam.

Dalam serbuan ‘Op Gegar’ di sebuah hotel di Kota Kinabalu Jumaat lepas, Imigresen telah menahan beberapa individu dan menjumpai wang tunai lebih RM11 juta di situ.

Hasil siasatan lanjut menemukan lebih RM1.1 juta lagi di pangsapuri milik seorang daripada yang ditahan, tidak jauh dari lokasi serbuan berkenaan.

Seramai 17 individu yang ditahan dalam operasi itu adalah wanita warga Filipina berusia lingkungan belasan tahun hingga 30-an, dipercayai mangsa sindiket pelacuran yang didalangi tiga lelaki.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata siasatan lanjut mendapati hotel yang diserbu Jumaat lepas itu telah beroperasi sejak 1999.

“Siasatan juga mendapati antara wang tunai yang dirampas bertarikh pada 2008… namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca dari mana wang itu diperoleh.

“Selain Akta Imigresen 1959/63, kes turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan semua aspek disiasat dengan teliti tanpa membuat sebarang andaian.

Bernama
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password