Rakyat Zimbabwe di perantauan: Akhirnya kami boleh pulang

GLOBAL | Rakyat Zimbabwe yang tinggal di Namibia, menyuarakan kelegaan dengan berita peletakan jawatan Robert Mugabe sebagai Presiden Zimbabwe, yang sekaligus menandakan tamatnya pemerintahan diktator selama 37 tahun.

“Akhirnya, kami boleh pulang ke negara asal. 37 tahun pemerintahan diktator bukanlah suatu gurauan kerana ramai telah menderita disebabkan presiden yang berkhidmat terlalu lama itu.”

Itu adalah antara reaksi beberapa warga Zimbabwe yang tinggal di Namibia, selepas mengetahui mengenai berita peletakan jawatan tersebut.

Menerusi temu bual dengan beberapa warga Zimbabwe di Pasar Soweto di Katutura, kebanyakan mereka berkongsi perasaan sama sejurus selepas berita itu diumumkan.

“Saya berada di sini kerana terpaksa melarikan diri untuk mencari pekerjaan dan sumber pendapatan, saya amat berterima kasih atas berita itu kerana boleh pulang ke tanah air sekarang,” kata seorang warga Zimbabwe yang enggan dikenali.

Sebahagian rakyat Zimbabwe yang mencari rezeki dengan menjual sayur di jalanan, mendedahkan mereka terpaksa lari ke negara lain kerana kesukaran hidup di negara asal.

Dengan perkembangan terkini itu, diharapkan ia akan membawa kepada perubahan lebih baik.

Enerst Mutero berkata, apa yang diraikan bukan hanya peletakan jawatan Mugabe semata-mata, tetapi lebih daripada itu.

“Kami tidak semestinya meraikan kejatuhan (Mugabe) sahaja, malah gembira dengan peralihan kuasa yang aman, kerana keadaan mungkin menjadi lebih teruk dan boleh menjurus kepada peperangan,” kata Mutero.

Seorang lagi rakyat Zimbabwe, Victor Masarirambi, berharap negaranya dapat menyediakan pekerjaan yang cukup untuk belia, namun tetap menghormati Mugabe sebagai seorang ikon.

Peletakan jawatan Mugabe,93, diumumkan Speaker Parlimen, Jacob Mudenda semasa sidang Parlimen yang membahaskan prosiding pemecatan beliau.

Mugabe, seorang bekas anggota gerila, memimpin Zimbabwe sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1980.

Parti pemerintah, Zanu-PF melantik bekas naib presiden Emmerson Mnangagwa sebagai presiden sementara.

Mnangagwa, sekutu politik Mugabe selama lebih 40 tahun, dipecat dua minggu lalu, atas tuduhan menipu dan tidak setia.

Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password