Putus hubungan dengan Myanmar tak akan bantu Rohingya

Langkah memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar bukanlah jalan terbaik untuk menyuarakan bantahan terhadap penindasan etnik Rohingya, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, malah ia akan menyukarkan lagi usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada etnik itu sama ada oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan.

Beliau menjawab soalan tambahan anggota parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung langkah yang diambil kerajaan dalam isu itu, di Dewan Rakyat, hari ini.

“Jika kita ambil tindakan bersifat unilateral, kadang-kadang ia tak beri kesan positif. Kita ingin memastikan dalam apa keadaan pun, masih ada ruang untuk terus memberikan bantuan.

“Hakikatnya jika kita memutuskan hubungan diplomatik, ia sama sekali akan menyempitkan ruang dan keupayaan kita menghantar bantuan kepada mereka yang ditindas di Rakhine.

“NGO seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Mercy Malaysia juga tak mungkin dibenarkan masuk ke sana,” katanya.

Wan Azizah pernah membangkitkan isu penindasan Rohingya pada sidang Dewan Rakyat, Ogos lalu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan misi penghantaran bantuan ketiga, kali ini membawa 6.5 tan makanan dan barangan keperluan pelarian Rohingya di sempadan Myanmar-Bangladesh.

Kerajaan juga dalam proses menghantar kakitangan kesihatan bagi membantu membina hospital lapangan di sana.

Reezal yang juga anggota parlimen Kepala Batas berkata, Malaysia akan terus membangkitkan isu itu di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapat sokongan kuasa besar, pada masa sama meneruskan bantuan kepada etnik Rohingya.

“Kerajaan faham sentimen rakyat yang marah dengan kekejaman tersebut. Malaysia akan terus bangkitkan isu Rohingya ke peringkat antarabagsa bagi memberi penekanan berterusan kepada kerajaan Myanmar,” katanya.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password