Purata pendapatan petani masih tak lebih RM2,000

Golongan petani perlu bersikap lebih berdaya saing dan produktif untuk meningkatkan pendapatan mereka dalam merealisasikan sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata melalui Gelombang Tani Nasional (GTN) yang diperkenalkan beberapa bulan lalu diharapkan golongan petani agar lebih kompetitif dan berdaya maju bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.

“Pada masa ini kerajaan memberi pelbagai bantuan, insentif dan program sokongan untuk petani kita di dalam semua kluster. Namun begitu kita dapati purata pendapatan petani masih lagi rendah iaitu sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

“Ini tidak mencukupi bagi kaum petani untuk menghadapi keperluan kehidupan terutama perbelanjaan pembelajaran anak, kesihatan dan kebajikan. GTN tentunya akan mengambil masa untuk melihat kesannya dan perubahan minda serta revolusi budaya dalam diri petani itu sendiri perlu dilakukan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mengenai keberkesanan program GTN meningkatkan tahap sara diri petani serta langkah kementerian dalam mempromosi sektor pertanian sebagai agro pelancongan.

Tajuddin berkata sektor agro pelancongan memberi peluang besar kepada petani meningkatkan hasil pendapatan mereka jika ia digembleng dan dieksploitasi sepenuhnya.

Katanya, penduduk luar bandar boleh menjadikan kawasan kampung mereka sebagai produk agro pelancongan bukan sahaja melalui aktiviti pertanian dan ternakan, malah menerusi aktiviti kesenian dan kebudayaan.

– Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password