Punca kepulan asap di wad Hospital Sibu masih disiasat

Pihak bomba dan syarikat One Medicare Sdn Bhd masih menjalankan siasatan berhubung kejadian kepulan asap di wad isolasi lelaki di Hospital Sibu Sarawak jam 8.29 pagi semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham berkata, pengurusan fasiliti One Medicare telah memaklumkan pihak bomba mengenai kejadian itu serta mengarahkan juruteknik yang bertugas melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan punca kejadian.

“Bagaimanapun, sehingga kini pihak bomba berserta pihak One Medicare Sdn Berhad masih menjalankan siasatan lanjut untuk mencari punca sebenar berlaku kejadian.

“KKM dimaklumkan bahawa siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kebakaran dapat dikenal pasti yang mengakibatkan
kepulan asap tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

 

One Medicare Sdn Bhd merupakan syarikat yang menyediakan sokongan perkhidmatan di 23 hospital di Sarawak.

Menurut Noor Hisham kejadian itu dikesan dari bilik tandas wad 23 berkenaan yang terletak di tingkat 2 bangunan Blok K oleh seorang pekerja am yang kemudian memaklumkan jururawat bertugas.

“Selaras dengan protokol keselamatan sedia ada, pengungsian wad tersebut telah dilakukan serta merta di mana pesakit, pelawat serta petugas kesihatan telah dipindah ke tempat selamat,” jelasnya.

Tambah beliau, sebagai langkah berjaga-jaga, pengungsian bangunan dan blok-blok yang berhampiran juga turut dilakukan iaitu di Blok J, M dan N.”

“Kesemua kawasan dan blok-blok lain yang dikosongkan telah mulai digunakan semula seawal 9:30 pagi setelah didapati selamat,” katanya menambah perkhidmatan rawatan tidak terjejas dan tiada kerosakan harta benda dilaporkan.

Dalam kejadian semalam, kira-kira 1,000 pesakit, kakitangan dan orang ramai yang berada di 18 wad di Hospital Sibu terpaksa dipindahkan ke tempat selamat apabila asap dikesan keluar dari siling tandas Wad 23 hospital tersebut.

Pemangku Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira jam 8.19 pagi dan menggerakkan dua jentera masing-masing dengan kekuatan 10 anggota.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password