PSM Kelantan ajak parti lain ‘tunjuk taring’

Selepas mengumumkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama sepuluh hari lalu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan hari ini ‘membuka langkah sembah’ dengan mengajak parti lain menunjukkan ‘taring’ masing-masing melalui program pembentangan terbuka.

Pengerusi PSM negeri yang juga bakal calon di kawasan DUN itu, Khairul Nizam Abd Ghani berkata, ia bagi memberi ruang kepada parti-parti yang bakal bertanding mengemukakan agenda masing-masing kepada penduduk di sana, jika menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ideanya adalah mengadakan satu pembentangan terbuka secara bersama, mengenai hala tuju politik jika dipilih mewakili penduduk Kota Lama di Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, PSM negeri telah menyerahkan surat jemputan pertama kepada bakal calon BN, Chua Hock Kuan daripada MCA.

Dengan penyertaan PSM, DUN Kota Lama bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru selain BN, PAS dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Lebih menarik, ada kemungkinan HARAPAN diwakili DAP yang sebelum ini menunjukkan minat untuk bertanding di DUN itu dan DUN Galas.

Khairul Nizam berkata, jemputan akan turut dihantar kepada HARAPAN dan PAS selepas calon bagi kedua-duanya diketahui.

“Matlamatnya agar rakyat dapat mendengar hala tuju parti masing-masing. Diharap masyarakat Kota Lama dapat membuat penilaian berdasarkan pembentangan ini,” katanya lagi.

Kota Lama adalah kawasan pengundi campuran yang mempunyai pengundi Cina paling ramai, iaitu satu per tiga daripada kira-kira 30,000 pengundi.

Ia disandang Datuk Anuar Tan Abdullah (PAS) yang menewaskan calon BN Tan Ken Ten (MCA) dengan majoriti 6,618 undi pada PRU lalu.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password