Politik bermaruah dalam pagar kampus


Pilihan raya kampus (PRK) saban tahun sentiasa menjadi sebuah temasya yang paling ditunggu-tunggu dan mendapat perhatian mahasiswa sehingga mengheret kepada liputan media baik dalam mahupun luar universiti.

Pelbagai bentuk perang saraf dihunus di setiap ceruk yang menjadi tempat pelajar mengakses maklumat.

Tidak ada nuansa yang dapat digambarkan setiap kali berlakunya PRK selain ketegangan, provokasi, persaingan manifesto dan tempekan-tempekan janji manis.

Ia simbolik antara perebutan kuasa dan tanggungjawab terhadap pengislahan kampus yang dikaburi dengan istilah-istilah muluk kekuasaan individualiti seperti hak, tanggungjawab dan kebebasan pelajar memilih.

Pilihan raya kampus UIA baru sahaja melabuhkan tirai kelmarin setelah setiap calon yang layak bertanding diberi masa dua hari sahaja untuk berkempen dan menerangkan manifesto yang bakal dikotakan setahun ke hadapan.

Ribuan tahniah dan takziah diucapkan kepada calon yang menang. Semoga kepimpinan baharu ini lebih baik dan lebih telus dalam membawa suara dan masalah-masalah pelajar.

Dialog dan debat manifesto

Tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pelajar Kulliyyah Languages and Management (KLM) UIAM tidak menyertai PRK di kampus utama UIA di Gombak.

Kami dipindahkan ke Bandar Universiti Pagoh, Johor bersama-sama UTHM, UTM dan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail.

Hal ini sedikit sebanyak membawa sedikit kelainan daripada aspek suasana dan perjalanannya. Namun ia tidaklah membantutkan semangat calon dan pengundi.

Untuk membangkitkan naluri dan menguak kesedaran pelajar tentang kepentingan PRK serta menyahut kempen #UndiGunaOtak #UIAMengundi, sebuah kumpulan diskusi mandiri Sembang Kopi KLM, mengambil usaha inisiatif dengan menganjurkan dialog dan debat manifesto calon majlis perwakilan pelajar (SRC) yang bertanding.

Dialog dan debat yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang terpaksa ditangguhkan ke 10 malam untuk memberi ruang dan penghormatan kepada sesi dialog tertutup bersama rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin dan pihak pengurusan tertinggi UIAM.

Seperti dirancang, sesi dialog dan debat dilangsungkan tepat pada jam 10 malam di kafe kolej kediaman UIAM bersama empat calon yang bertanding dan dihadiri kurang lebih dari 100 orang pelajar. Seramai empat calon yang mengambil bahagian dalam PRK fakulti KLM kali ini.

Dialog yang dimudahcara oleh saya dan turut dihadiri oleh Dekan Kuliyyah, Prof Dr Nuraihan Mat Daud, telah memberi ruang penyertaan langsung antara calon dan pengundi berbahas, kritik idea, dan membongka sisi-sisi lompong yang sering disisihkan dan dilekehkan sebahagian besar calon yang bertanding.

Baca perlembagaan MPP?

Misalnya, soalan pertama yang diajukan oleh saya sendiri kepada setiap calon; adakah anda pernah membaca perlembagaan MPP?

Ini telah gagal dijawab oleh keempat-empat mereka. Kesemua calon telah memberi jawapan yang negatif.

Mereka mengaku langsung tidak pernah baca perlembagaan SRC yang menjadi tunjang utama kepimpinan universiti.

Lebih menyedihkan lagi apabila sesi debat manifesto sesama calon tidak dapat diteruskan kerana dua orang dari mereka meminta diri semasa dialog sedang hangat dilangsungkan.

Mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka mempunyai hal mustahak untuk diselesaikan segera waktu itu. Kerana menghormati permintaan calon, saya terpaksa membenarkan mereka meninggalkan pentas.

Rentetan hal itu, seorang lagi calon yang masih berada di pentas utama meminta saya untuk segera menghentikan sesi dialog tersebut.

Bagi beliau amatlah tidak adil jika hanya dua calon yang perlu berhadapan dan disoal oleh pelajar sedangkan dua pencabar mereka sudah “selamat”.

Juga kerana menghormati permintaan calon, saya terpaksa menghentikan sesi dialog itu dengan segera.

Peristiwa yang berlaku malam itu sedikit sebanyak telah membuka mata pengundi dan calon terhadap tahap dan keseriusan kita dalam PRK kali ini.

Naratif baharu

PRK pastinya sinonim dengan perebutan kuasa prokerajaan dan propembangkang dan ia menjadi perbincangan hangat setiap kali pasca-PRK. Pilihan raya kampus bagi sesetengah pihak hanyalah bersoalkan kuasa. Kebajikan, hak dan suara pelajar itu hanya perkara terakhir antara yang terpenting.

Di UIA seperti tahun sudah, pertembungan antara calon yang telus dan bersedia menggalas tanggungjawab, calon yang dikatakan kumpulan propentadbiran, calon dari kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai pembangkang dan propelajar (walhal ramai pelajar UIA sendiri yang sudah muak dan kecewa dengan mereka), dan calon yang bertanding sekadar boneka pemecah undi.

Tidak dinafikan watak-watak ini adalah warna-warna yang pekat mewarnai suasana PRK di UIA; sehingga sampai satu ketika menenggelamkan erti warna harga diri seorang mahasiswa dan calon pemimpin.

Proksi

Waima begitu di UIA sedikit istimewa, calon yang bertanding tidak dibenarkan berkempen secara proksi walaupun mereka berproksi. Di sinilah kita akan melihat pelbagai helah dan kelicikan yang digunakan semasa berlangsungnya kempen dan pembentangan manifesto. Isu agama, khasnya Islam, antara yang menjadi gula-gula kegemaran untuk mempengaruhi pengundi.

Hal-hal beginilah di hari kemudian akan menjadi barah penyesalan buat para pengundi apabila calon yang benar-benar layak gagal diangkat menjadi pemimpin.

PRK lebih luas dari soal kalah menang. Melalui PRK ini sepatutnya menjadi penanda aras sebenar mahasiswa dalam menilai maruah serta harga diri. Sama ada mereka bertanding kerana benar-benar bersedia dan memberi komitmen atau sekadar boneka suruhan yang dicucuk hidung.

Bagi pengundi pula, PRK adalah platform terbaik untuk menjadi matang dalam membuat keputusan. Kematangan yang rentas rakan proksi, rakan sekuliah, rakan sekelas hatta rakan sebilik. Hakikatnya, setiap undi bukanlah untuk calon tapi untuk diri kita sendiri.

Maka kerana itu pokok pangkalnya, proksi tidak menjadi hal utama. Perkara yang harus diberi perhatian berat adalah pada merit dan kelayakkan calon.

Inilah antara matlamat penting mengapa penglibatan pelajar dalam PRK sangat mustahak dan menjadi keutamaan.

Pendek kata, kita harus menggerakkan segala usaha penambahbaikkan PRK sehingga pada satu tahap kita bersedia untuk mendesak kepimpinan yang tidak layak dan gagal mengotakan janji dengan baik untuk turun dan meletak jawatan.

Jika ini berjaya, kita akan dapat lihat erti demokrasi itu diaplikasi dengan sebaiknya dan politik di kampus menjadi jauh lebih bermaruah dari politik luar pagar kampus.


HAFIZOL HAKAMI seorang penuntut tahun 2 Bahasa Arab untuk Komunikasi Antarabangsa di UIA Pagoh. Beliau juga seorang felo Sembang Kopi KLM dan penulis amatur yang belum pernah mempunyai teman wanita.



Sumber : MalaysiaKini – Surat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password