Polis tahan Zamihan

Presiden Persatuan Ahli Sunnah wal Jamaah (Aswaja) ditahan polis ekoran ceramahnya yang dikatakan mengkritik Sultan Johor berhubung isu kedai dobi mesra Muslim.

Ketika dihubungi Malaysiakini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan penahanan Zamihan Mat Zin itu.

Katanya Zamihan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur kira-kira jam 3.50 petang tadi.

“Dia disiasat mengikut Akta Hasutan bersama Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin penceramah yang pernah berkhidmat bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri itu akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran tahanan reman esok.

Semalam nama Zamihan menjadi perhatian apabila klip video ceramahnya menjadi tular.

Dalam ceramah itu – yang dirakam pada beberapa hari lalu – mempersoalkan kewajaran kedai mesra Muslim di Johor dipertikaikan.

Sultan Johor, Sultan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri mengarahkan dasar itu dihentikan atau berdepan kemungkinan diarah ditutup.

“Saya tidak boleh terima perkara karut ini. Ini adalah Johor, yang dimiliki oleh Bangsa Johor dan ia adalah milik semua kaum dan agama. Ini negeri yang progresif, moden dan sederhana.

“Ini bukan sebuah negara Taliban dan sebagai ketua Islam di Johor, saya dapati tindakan ini tidak boleh diterima sama sekali kerana ini bersifat ekstremis,” titah baginda seperti dipetik The Star.

Selepas tular Zamihan menyalahkan beberapa media, termasuk Free Malaysia Today (FMT), selain bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Zamihan mendakwa laporan laman berita itu “jelas berniat jahat dan berunsur fitnah” dan “cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan istana”.

“Bahkan FMT juga dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini,” dakwanya.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu juga mendakwa FMT cuma membunuh karektornya, malah ia bukan pertama kali dilakukan.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password