Peruntukan RM500 juta naik taraf jalan Yayasan Sabah-Tg Lipat

Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memperuntukkan hampir RM500 juta bagi menaik taraf dan membesarkan jalan raya dari Yayasan Sabah ke Tanjung Lipat, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata jalan raya sepanjang tujuh kilometer itu akan dinaik taraf menjadi tiga lorong dua hala selain melibatkan pembinaan dua jejambat.

Beliau berkata peruntukan berkenaan diluluskan selepas mendengar taklimat daripada kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengenai keperluan untuk menaik taraf serta membesarkan jalan raya berkenaan, dan ia akan dimasukkan dalam Bajet 2018.

“Ia (naik taraf dan membesarkan jalan) juga akan menghubungkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), yang mana, SICC bakal menjadi pusat konvensyen yang terbesar (apabila ia siap kelak).

“Jika jalan raya tidak dinaik taraf dan dibesarkan ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bina tiga jejambat

Abdul Rahman berkata usaha menaik taraf dan membesarkan jalan itu merupakan kesinambungan daripada langkah menaik taraf dan membesarkan jalan Indah Permai-Yayasan Sabah dengan peruntukan lebih RM400 juta yang diumumkannya pada tahun lepas.

Katanya naik taraf jalan Indah Permai-Yayasan Sabah sepanjang lapan kilometer itu turut melibatkan pembinaan tiga jejambat dengan kerja pembinaannya akan dimulakan pada bila-bila masa.

Usaha menaik taraf dan membesarkan jalan berkenaan diharap akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dihadapi warga kota setiap kali masuk ke pusat bandar, katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sejumlah RM13.5 juta bagi membina sebuah jambatan sepanjang 52.7 kilometer di Jalan Mawilla Dua, berhampiran Kampung Gantisan di Sepanggar.

Beliau berkata pembinaan jambatan itu bagi memberi keselesaan selain memudahkan perhubungan dan pergerakan keluar masuk penduduk sekitar dalam menjalankan aktiviti harian memandangkan jambatan sedia ada tidak begitu stabil.

Jambatan itu turut menghubungkan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sabah, katanya.
 

-Bernama



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password