Penghuni PPR Lembah Subang perlu henti bayar sewa pada KPKT

Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, di Lembah Subang sepatutnya menghentikan bayaran sewa mereka kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebaliknya menyalurkan ia kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata segala kerja-kerja penyelenggaran PPR itu masih di bawah kendalian MBPJ meskipun KPKT mendakwa sudah mengambil alihnya.

“Walaupun KPKT mendakwa telah mengambil alih PPR itu namun kerja-kerja pembersihan masih dilakukan oleh MBPJ.

“PPR tersebut masih di bawah MBPJ maka penduduk perlu membayar sewa mereka kepada MBPJ dan bukan KPKT,” tegas Iskandar dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata sekiranya penghuni PPR itu masih meneruskan pembayaran masing-masing kepada KPKT mereka akan berdepan masalah.

“Jika penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa oleh MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran maka penduduk akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukan penyelenggaraan,” kata Iskandar.

Dua syarikat lantikan

Kata Iskandar, MBPJ telah menempatkan kakitangannya untuk kerja-kerja penyelenggaran di PPR tersebut.

“Terdapat lapan blok di PPR itu dan empat orang pekerja ditugaskan untuk membersihkan setiap blok tiap-tiap hari.

“Seorang pekerja akan membersihkan tingkat bawah seperti longkang-longkang sementara tiga orang pekerja di tingkat-tingkat atas,” kata Iskandar.

Malah, Iskandar berkata MBPJ juga turut menempatkan pegawainya bagi kemudahan penghuni PPR berurusan dengan pihak berkuasa tersebut yang dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang.

“MBPJ mempunyai pejabat di Blok D yang diuruskan oleh empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan dan bayaran sewa dari penduduk,” katanya.

Pada masa yang sama, Iskandar juga berkata semua lif di PPR itu diselenggara dua syarikat yang dilantik MBPJ, serta juruteknik dari jabatan kejuruteraannya pihak berkuasa tempatan itu.

Selain daripada mengekalkan kemudahan itu, Iskandar juga berkata bahawa MBPJ telah melaksanakan program kemasyarakatan untuk penduduk di PPR sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan penduduk bandar.

“Jadi MBPJ tidak hanya peduli terhadap kemudahan itu, tetapi juga masyarakat,” kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka itu.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password