Pengganas warga asing, EMGS kerjasama dengan PDRM

Education Malaysia Global Services (EMGS) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu penyalahgunaan pas pelajar sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan memastikan integriti Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa terpelihara.

“Terdapat beberapa proses dan saringan yang terlibat dalam pemprosesan permohonan pas pelajar antarabangsa termasuk kerjasama berterusan antara agensi terlibat dalam pertukaran maklumat bagi menentukan keberkesanan pengurusan pelajar.

Antara aspek yang disaring sebelum sokongan diberi oleh EMGS untuk kelulusan pas pelajar oleh Jabatan Imigresen pula adalah setiap kursus yang ditawarkan kepada pelajar antarabangsa mestilah memperoleh akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata PDRM mengesan kewujudan sindiket yang membawa masuk pengganas warga asing ke Malaysia termasuk dengan menggunakan visa pelajar susulan penahanan 48 suspek berkaitan sebelum ini.

Rujhan berkata pihaknya akan melakukan semakan terperinci terhadap individu-individu yang terlibat setelah menerima butiran lanjut daripada PDRM.

Katanya, EMGS turut mengalu-alukan usaha pihak institusi pengajian tinggi (IPT) untuk sentiasa mengawasi aktiviti pelajar dan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

EMGS, syarikat milik penuh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, adalah pusat sehenti yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal pelajar antarabangsa termasuk permohonan pas pelajar untuk mengikuti pengajian tinggi di Malaysia,

 

-Bernama

 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password