Penduduk Segamat perlukan hospital bukan kem tentera


Saya mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin bahawa sebuah hospital awam akan dibina di kawasan Parlimen Pasir Gudang yang bernilai RM500 juta.

Persoalannya, adakah hospital awam ini merupakan satu projek kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri Johor dan daripada manakah peruntukan akan diperolehi?

Tidakkah kerajaan pusat mahupun negeri ketahui bahawa penduduk di daerah Segamat amat memerlukan sebuah hospital yang dapat berkhidmat kepada penduduk di kawasan ini.

Kini terdapat sebuah hospital yang namanya sahaja Hospital Segamat tetapi terletak di kawasan Parlimen Sekijang, di mana kawasannya yang tidak strategik apabila penduduk di kawasan Felda Palong, Gemas Baru dan Jementah terpaksa mengambil masa sehingga 45 minit hingga 1 jam untuk ke hospital berkenaan.

Mengapa Datuk Seri Dr Subramaniam selaku menteri kesihatan dan ahli Parlimen Segamat tidak mengumumkan hospital yang betul-betul terletak di kawasan Segamat?

Hospital Segamat kini sudah tidak lagi mampu untuk menampung sehingga lebih 150,000 penduduk di Segamat sahaja. Berapakah nisbah doktor kepada rakyat untuk dipenuhi? Bagaimana pula dengan nisbah jururawat dan staf sokongan?

Tak cukup doktor pakar

Saya difahamkan juga bahawa hospital ini tidak cukup doktor pakar dan kepakaran sedia ada hanya terhad dalam beberapa bidang sahaja dan kebanyakan kes akan dirujuk ke Muar.

Setibanya musim hujan, penduduk sudah pasti tidak akan dapat ke hospital sekiranya banjir berlaku yang mengakibatkan jambatan Segamat tidak dapat digunakan untuk menyeberanginya.

Pada tahun lepas, terdapat kes di mana penduduk Segamat terpaksa ke Muar dan Tampin, Negeri Sembilan bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan kecemasan meskipun keadaan jalan Segamat – Muar tidak selamat, ia lebih memudaratkan pesakit bagi mendapatkan rawatan.

Subra perlu letak jawatan

Saya mencadangkan Datuk Seri Dr Subramaniam agar untuk meletakkan jawatan sebagai menteri kesihatan atau ditukarkan ke kementerian yang lain kerana telah gagal memberikan perkhidmatan kementeriannya sendiri.

Kerajaan Umno BN mahu dan pernah mengeluarkan kenyataan untuk membina hospital di Bangladesh tetapi rakyat khususnya di Segamat begitu sukar untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik di hospital kerajaan.

Ini boleh diibaratkan seperti ‘kera di hutan disusukan tetapi anak di pangkuan mati kelaparan’.

Saya mencadangkan agar sebuah hospital dapat dibina di bandar Buloh Kasap memandangkan penduduk sekitar seperti di Gemas Baru, Palong, Berata, Gemerah dan Jementah dapat manfaatkannya.

Sepatutnya peruntukan yang digunakan untuk membina kem tentera Segamat patut digunakan untuk membina hospital.


DATUKL SERI DR SANTHARA penyelaras PKR Segamat dan pengerusi Biro Integrasi Nasional PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

 



Sumber : MalaysiaKini – Surat

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password