Pemimpin BN salahkan kerajaan P Pinang

Perdana Menteri Najib Abdul Razak menyatakan rasa sedih ke atas kejadian tanah runtuh di kawasan pembinaan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pagi tadi.

“Moga misi mencari dan menyelamat berjalan lancar, sama-sama kita doakan,” katanya melalui akaun Twitter.

Tanah runtuh itu terjadi sekitar 8.30 pagi tadi. Setakat ini, 11 mangsa masih terperangkap dan cuba diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Antara yang disahkan terkorban adalah seorang warga Malaysia dan dua pekerja warga Bangladesh.

Bernama melaporkan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pukul 8 malam tadi dan akan disambung semula 8 pagi esok.

Sementara itu, beberapa pemimpin BN tampil menyalahkan kerajaan negeri yang dipimpin DAP.

Bendahara Umum MIC S Vell Paari berkata tanah runtuh itu akibat kecuaian kerajaan negeri yang gagal menghentikan projek pembangunan di atas bukit.

“Apa yang paling mengejutkan dalam kejadian yang meragut nyawa ini adalah ketidakbertanggungjawaban dan kecuaian kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menghentikan pembangunan atas bukit dan pembersihan kawasan sensitif sekitar pulau.

“Bahaya pembangunan atas bukit telah disampaikan kepada kerajaan negeri berulang kali namun tiada tindakan diambil,” kata Vell Paari dalam satu kenyataan.

“Saya menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertanggungjawab kerana kecuaiannya menyebabkan nyawa terkorban.

“Mungkin ketua menteri dan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak peduli atau menghargai nyawa warga Pulau Pinang namun saya peduli dan tidak akan berdiam diri,” tambahnya.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim turut mengulangi gesaan itu dan berkata Lim perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian itu.

“Tragedi ini tidak akan terjadi jika kerajaan negeri mendengar amaran dan nasihat dari warga Pulau Pinang,” kata Rafizal.

Sementara itu, Naib Pengerusi Gerakan Pulai Pinang Oh Tong Keong berkata kerajaan negeri perlu mengkaji semua semua projek berkepadatan tinggi untuk mengelak kejadian seumpamanya di masa depan.

Oh berkata Lim perlu memberi penjelasan kepada rakyat Pulau Pinang selain permohonan maaf daripada majlis perbandaran kerana mereka yang meluluskan projek.

Lim hari ini berkata kerajaan negeri akan mengadakan siasatan penuh terhadap kejadian itu.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password