Pembantu Rosmah: Bajet bayangan pembangkang ‘poyo’

Pembantu khas isteri Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor mengutuk bajet bayangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan menyifatkannya sebagai belanjawan ‘poyo’ dan roti.

“Belanjawan poyo dan roti – itulah jawapan saya apabila ditanya mengenai bajet alternatif oleh pakatan pembangkang.

“Ianya poyo sebab lebih kepada nak memikat hati pengundi semata-mata, terlalu berdasarkan jangkaan dan tidak realistik,” katanya.

‘Poyo’ ialah istilah slanga yang merujuk kepada sesuatu perkara yang tidak menarik atau sifat bongkak orang yang bercakap gah.

Rizal menyifatkan langkah bajet alternatif HARAPAN untuk menjimatkan sehingga RM20 bilion daripada pembaziran dan penyelewengan sebagai suatu angka yang tidak realistik.

“Apa sangat boleh dijimatkan sampai RM20 bilion?” Soalnya.

Rizal turut mempersoalkan langkah untuk mengurangkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri sehingga RM8 bilion.

“Terdapat berpuluh agensi di bawah JPM seperti ESSCOM, APMM, Pengurusan Bencana, MKN, Audit, AG, SPR dan lain-lain lagi.

“Apakah ini petanda pembangkang akan buang beramai-ramai penjawat awam di jabatan itu bila memerintah kelak?

“Kalau inilah bayangan bajet pembangkang, kakitangan awam yang pro-pembangkang wajar fikir-fikirkan,” katanya lagi dalam sebuah kenyataan hari ini.

Bagi lauk-pauk biar rakyat kenyang

Sambil itu, pegawai di jabatan perdana menteri itu juga mengaitkan bajet bayangan HARAPAN dengan tindakan Nurul Izzah yang memberi sumbangan roti kepada orang ramai di kawasan parlimennya baru-baru ini.

“Apa makna roti dari Nurul Izzah itu? Ia bermakna pembangkang hanya main wayang dan tak benar-benar bantu rakyat.

“Roti dimakan sekadar untuk lapik perut sahaja, kalau benar-benar nak bantu rakyat, bagi nasi dan lauk-pauk biar rakyat kenyang,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mahukan bajet HARAPAN dibuktikan pelaksanaannya di negeri Selangor terlebih dahulu.

“Justeru, rakyat diajak untuk menilai dengan minda terbuka kandungan Bajet Pembangkang.

“Untuk itu, pembangkang bebas bercakap apa sahaja, bebas berjanji apa sahaja asalkan matlamat mereka tercapai,” kata Mat Nadzari dalam kenyataan media kepada Malaysiakini hari ini.

“Untuk itu, janganlah kita terpedaya dengan satu lagi dokumen indah tetapi pelaksanaannya belum tentu terlaksana,” katanya.

Semalam, HARAPAN melancarkan bajet bayangan dengan ikrar menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan cukai (GST) dan mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Seperti bajet bayangan sebelumnya, HARAPAN juga mendakwa hasil negara akan dapat ditambah dengan mengekang pembaziran dan rasuah.

Belanjawan 2018 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pada hari Jumaat ini di parlimen.
 



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password