PDEA boleh jadi alat menekan pembangkang

ULASAN | Peningkatan ketelusan dan persaingan pilihan raya yang adil adalah sasaran PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menjdikan Malaysia beramal dengan sistem demokrasi yang mampu mengutamakan keadilan buat rakyat.

Malangnya, seperti yang selalu dapat kita lihat, undang-undang baru yang diturunkan kepada cabang eksekutif kerajaan BN acap kali disalahgunakan untuk mengekang serta menyerang pihak pembangkang dan mana-mana pihak lain yang mengkritik dasar boros, tiris, rasuah dan menambah bebanan ekonomi rakyat.

Oleh itu, saya amat meragui keputusan kabinet yang terburu-buru memberi kebenaran agar Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) dibentangkan di parlimen.

Meskipun akta tersebut dikatakan bakal memberi panduan jelas tentang sumbangan, ia memberi ruang kepada kuat kuasa undang-undang secara terpilih untuk menakutkan penyokong pembangkang dan mengekang kemaraan suara kritikan membina yang sihat.

Cadangan di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan kawalan ketat terhadap kemasukan dana politik asing serta kewajiban penyumbang sumbangan politik tempatan mengisytiharkan sebarang transaksi berjumlah RM3,000 ke atas, kelihatan tidak praktikal dan memberi kelebihan kepada kerajaan – yang terbukti dengan ‘kejayaan’ pimpinan utama BN memperoleh berbilion ringgit melalui rangkaian Arab Saudi.

Berdasarkan tuduhan palsu

Kita dapat melihat jeleknya pelaksanaan undang-undang sedia ada, dan sejauh mana usaha teliti diambil oleh pihak kerajaan untuk menjaga perjalanan pilihan raya.

Berdasarkan pengalaman terdahulu, saya yakin sebarang undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan yang tempang dan berat sebelah ini akan dipergunakan untuk menekan pihak pembangkang berbanding digunakan demi demokrasi dan ketelusan.

Rakyat Malaysia seharusnya berasa risau dengan kewujudan undang-undang baru sebegini.

Ia disebabkan tiadanya penyiasatan dan pendakwaan ke atas pesalah pilihan raya di negara ini.

Pada masa yang sama, kita perlu mengambil kira kemungkinan yang boleh berlaku, termasuk dakwaan berdasarkan tuduhan palsu dan pelaksanaan undang-undang berat sebelah demi menyesakkan ahli politik pihak pembangkang sekiranya PDEA diluluskan.

Pelbagai contoh salah guna kuasa berdasarkan risiko ini telah terlihat.

Daripada penggunaan Akta Hasutan dan undang-undang antikeganasan untuk mengekang kebebasan bersuara rakyat, kepada isu persempadanan semula kawasan pengundian yang bakal diluluskan di parlimen (meskipun tidak dipersetujui pihak pembangkang), dan ketidakadilan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sikap kerajaan yang gemar mengambil kesempatan ke atas rakyat kian terserlah.

Sebarang proses yang menafikan pembuktian pilihan rakyat menerusi pilihan raya merupakan permulaan kehancuran sebuah demokrasi.

Saya mendesak pihak kerajaan memberi keutamaan kepada ketelusan parlimen, dan memperkukuh aspek penyiasatan, pendakwaan, serta pelaksanaan undang-undang berhubung salah laku pilihan raya di Malaysia.

Tanpa tindakan ini, peraturan baru hanya akan dimainkan untuk mendakwa ahli politik pembangkang melalui kaedah undang-undang yang ‘sah’, bagi matlamat yang salah.


NURUL IZZAH ANWAR ialah anggota parlimen Lembah Pantai merangkap naib presiden PKR serta pengarah bersama pilihan raya parti itu. 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sumber : MalaysiaKini – LensaKini

Login

Welcome! Login in to your account

Remember me Lost your password?

Lost Password